Jika melihat kanak-kanak kecil menggigit, ia adalah perkara biasa. Tidak kira sama ada dia menggigit kawan sebaya ataupun sesuatu objek, menggigit seolah-olah satu tabiat wajib bagi kanak-kanak berusia setahun hingga dua tahun.

 

Kadag kala jika anak kita yang menjadi mangsa gigitan kanak-kanak lain, rasa hendak marah sahaja tetapi apalah yang difahami oleh si anak kecil itu. Namun, mengapa ibu bapanya membiarkan anak mengigit sesuka hati.

 

Bagi anak kecil, menggigit adalah salah satu ekspresi emosi untuk melepaskan kemarahan, kegeraman atau rasa kecewa. Apatah lagi jika anak kecil memerlukan perhatian, penat, cemburu kepada adik dan sebagainya. Kanak-kanak yang belum boleh bertutur mencara cara tersendiri untuk mengekspresikan emosinya termasuk mengigit.

 

Jadi, menggigit adalah cara dia untuk menyalurkan emosi negatif. Menggigit lebih kerap terjadi dalam kalangan kanak-kanak lelaki. Semakin kemahiran bahasanya berkembang, kecenderungan menggigit akan turut berkurangan.

 

Cara atasi anak suka menggigit

1.      Tenangkan mangsa terlebih dahulu. Beri perhatian kepada anak yang menjadi mangsa gigitan apatah lagi jika dia anak orang lain.

 

2.      Tetap tenang namun tegas. Katakan kepada anak “jangan gigit orang”. Tegaskan kata-kata supaya dia faham. Elakkan bebelan yang panjang kecuali anak lebih besar dan memahami.

 

3.      Tenangkan si penggigit jika perlu. Mungkin anak tidak tahu gigitannya amat menyakitkan.

 

4.      Apabila situasi sudah tenang, sarankan alternatif lain kepada anak yang suka menggigit. Misalnya, ajar dia menggunakan kata-kata “jangan” atau “tidak” kepada orang yang membuatnya rasa hendak menggigit.

 

5.      Alih perhatian anak yang suka menggigit kepada aktiviti lain. Kadang kala disebabkan kebosanan atau ingin perhatian, mereka mencari pasal dengan menggigit orang lain.

 

Bagi kanak-kanak berusia satu hingga dua tahun, memberi hukuman atas perbuatan menggigit belum dapat menyedarkan mereka. Ini kerana mereka tidak memahami tindakan menggigit tersebut menyakitkan orang lain.