Soalan:

Benarkah minum minuman berkultur boleh menjadi penyebab kanser? Risau pula sebab boleh kata setiap hari, saya beri anak-anak sebotol minuman kultur untuk membolehkan bakteria baik berkembang di dalam sistem tubuhnya. Harap dapat beri penjelasan.

 

Jawapan:

Suatu masa dahulu, heboh tentang informasi salah bahawa kanak-kanak tidak digalakkan untuk kerap minum minuman berkultur. Hal ini perlu diambil perhatian dan diperbetulkan. Minuman berkultur sama sekali tidak akan menyebabkan kanser!

Menurut informasi itu, peminum berisiko untuk mendapat kanser. Sedangkan fakta yang betul ialah minuman ini hanya perlu dielakkan oleh pesakit yang sememangnya sedia ada menghidap kanser. Disebabkan minuman kultur mempunyai bakteria hidup, maka ia akan menyerang perumah yang mempunyai sistem imun lemah itu.                 

Malah, minuman ini juga tidak elok diambil oleh pesakit HIV, AIDS dan pesakit yang sedang melakukan rawatan kemoterapi juga. Ia akan menjadi  faktor imuniti pesakit semakin menurun.

Walaupun minuman berkultur selamat diambil oleh kanak-kanak yang sihat dan bebas daripada sel kanser, ia patut dikawal pengambilannya disebabkan oleh kandungannya yang tinggi gula.

 

Soalan ini dijawab oleh Syahrul Bariah, pensyarah di Pusat Pengajian Pemakanan dan Dietetik, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi Mara kampus Puncak Alam.