Si kecil yang baru belajar makan makanan pepejal biasanya akan merengek-rengek bila melihat ibu bapanya makan. Mereka seolah-olah minta untuk disuapkan makanan yang sedang anda makan. Apa tindakkan anda?

 

Melihat anak merengek-rengek minta disuapkan pastinya buat anda jadi serba salah. Mahu diberi anak baru sahaja belajar makan makanan pepejal dan masih terlalu awal untuk mencuba makanan dewasa. Tak diberi, tak sampai hati. Jadi apa yang patut anda buat? Jawapannya tak salah untuk memberi si kecil mencuba tetapi anda perlu hati-hati.  Jangan sehingga menyebabkan anak-anak tercekik atau tersedak.  

 

Apa yang membimbangkan kes tersedak boleh terjadi kepada sesiapa sahaja walaupun mengambil makanan yang sedikit sahaja dan nampak seperti tidak bahaya. Untuk menghindari risiko tersebut, anda seharusnya memilih dan memberi makanan yang sesuai dengan usia anak.

 

Berikut antara info yang wajib anda tahu!

 

1. Makanan yang disajikan dalam ukuran yang salah boleh menjadi penyebab anak tersedak pada usia mereka sekitar 12 hingga 24 bulan.

 

2. Potongan makanan yang berukuran lebih besar daripada sebutir kacang boleh menyebabkan rongga tekak anak anda tersumbat. Jadi jangan sesekali memberi si kecil makan ketika anda tidak mengawasi mereka.

 

3. Untuk kanak-kanak berusia 24 bulan ke atas kebanyakannya mampu untuk makan pelbagai makanan, namun kemungkinan untuk mereka tersedak makanan juga akan ada. Hindari beberapa jenis makanan dan biasakan anak anda untuk fokus ketika makan serta tidak bermain.

 

4. Elakkan memberi makanan bersaiz kecil dan teksturnya keras seperti lolipop, kekacang dan bertih jagung (popcorn) dan bertekstur lembut dan kenyal seperti marshmallow, jeli atau gula-gula gummy kepada si kecil.

 

5. Ada beberapa makanan jika tidak diolah dengan baik, boleh menyebabkan anak tersedak. Contohnya lobak merah, kacang buncis, anggur, ceri, tomato, daging dan keju.

 

6. Potong buah dan sayuran menjadi ukuran kecil, kira-kira lebih kecil daripada duit syiling.

 

7. Buah seperti anggur dan ceri dipotong empat, kacang dibahagi dua, jika ukurannya besar boleh dipotong lebih kecil lagi.

 

8. Sosej ataupun sayuran mentah dipotong panjang

 

9. Mentega kacang dioles nipis di atas roti

 

10.Sebaiknya popcorn dan gula-gula seperti lolipop tidak dikenalkan pada anak hingga usia mereka 4 tahun.

 

Sekiranya anak anda tercekik, ini antara tanda-tanda yang dialaminya

 

* Tidak boleh bercakap dan menangis.

 

* Muka menjadi biru.

 

* Memegang tekak dan minta bantuan.

 

* Kelihatan panik.

 

* Tidak sedarkan diri.

 

Dalam situasi ini, anda boleh menekan perut, juga dikenali sebagai Manuver Heimlich. Ia adalah prosedur standard menyelamat jika anda sudah dilatih.