Bila sudah ada anak, ibu-ibu memang prihatin tentang pemilihan barangan untuk kegunaan si manja. Bimbang juga kalau ada kandungan bahan kimia yang tidak selamat kepada anak.

Kulit bayi dan kanak-kanak sememangnya sangat sensitif dan berisiko terkena sebarang jangkitan kuman. Selain menjaga pemakanan si manja, anda juga perlu memberi perhatian kepada pelbagai barangan kegunaan harian si manja yang turut menyumbang kepada risiko kerosakan kulit dan kesihatan mereka.

 

Ini kerana kalau tak betul pemilihan barangan anak ia mendedahkan mereka kepada kandungan bahan kimia yang membahayakan kesihatan si manja. Jadi, berhati-hati semasa memilih produk untuk anak dan ambil tahu apa kandungan yang boleh dan tidak boleh untuk mereka.

 

Untuk mengelakkan kulit si manja mengalami masalah seperti alahan, kemerahan dan gatal-gatal seterusnya menyebabkan anak meragam, kerap demam dan lemah sistem imuniti maka cegahlah ia dengan pemilihan barangan yang mesra alam tanpa mengandungi bahan kimia.

 

Antara barangan yang kerap digunakan oleh anak anda adalah seperti berikut.

 

1. Mandian

 

Jangan mudah terpengaruh dengan tawaran harga atau tertarik pada pembungkusan botol mandian yang comel dan berwarna-warni. Namun hakikatnya kandungan pembuatannya adalah ‘bom jangka’ buat anda seisi keluarga.

Cara terbaik adalah memilih produk yang menyediakan pelbagai ramuan semula jadi untuk menghasilkan produk mandian dan penjagaan diri. Pastikan ia lebih selamat dan mesra alam dan bebas daripada bahan kimia yang sering digunakan untuk produk mandian, misalnya sodium lauryl sulpoacetate (SLS) dan paraben.

Tahukah anda bahawa SLS merupakan bahan kimia sintetik yang terdapat dalam syampu, sabun dan pencuci lain untuk menghasilkan buih. SLS digunakan dalam industri kerana ia murah dan produk dapat dijual dalam harga yang murah.

2. Sabun pencuci pakaian

 

Ini antara barangan yang kita gunakan setiap hari. Bahan kimia yang digunakan dalam sabun pencuci, peluntur dan pelembut pakaian yang biasanya berbau wangi mengandungi acetaldehydes yang tinggi. Selain menjadikan wap yang naik ke udara itu berbahaya untuk dihidu, ia akan melemahkan sistem imun menyebabkan anda dan anak mudah terkena selesema, demam dan diserang penyakit termasuklah gangguan pernafasan seperti asma dan alahan.

Selain itu, kebanyakan serbuk pencuci pakaian mengandungi bahan perengsa yang boleh disedut atau diserap melalui kulit yang dikatakan punca berlakunya tindak balas alahan. Triethanolaminedodecylbenzenesulfonate merupakan salah satu bahan boleh merengsakan dan membakar kulit dan mata. Kulit yang kerap bersentuhan dengannya akan menjadi kering dan gatal serta mengalami masalah alergi kronik dan ruam.

 

3. Pembersih tangan

 

Niat asal kita kononnya hendak memastikan tidak menjadi agen penyebar kuman dengan sentiasa mencuci tangan menggunakan sabun pembersih tangan. Tanpa disedari pemilihan sabun yang tidak betul mendedahkan kepada risiko penyakit lain.

Namun hakikatnya segelintir pencuci tangan mengandungi bahan bahaya yang tersembunyi dan memberikan kesan negatif kepada kesihatan diri.  Triclosan adalah bahan yang dapat mencegah pertumbuhan bakteria, namun terdapat penelitian mendapati ia memberi risiko kepada pertumbuhan sel-sel otak dan gangguan hormon.

Begitu juga paraben yang merupakan bahan pengawet yang digunakan di dalam formulasi kosmetik dan turut ada dalam kandungan bahan pembersih tangan. Penggunaannya dalam jangka masa panjang dikatakan akan memberi kesan yang berkaitan dengan kanser dan alahan pada kulit.

 

4. Pencuci botol susu si manja

 

Sekarang ramai ibu memilih sabun pencuci khas untuk botol susu si manja kerana tidak mahu menggunakan sabun pencuci pinggan biasa yang ditakuti mengandungi bahan kimia berbahaya.

Tetapi tahukah anda kebanyakan bahan pencuci malahan pencuci yang dikhaskan untuk mencuci botol susu bayi turut mengandungi bahan kimia seperti paraben. Ia akan meresap ke dalam elemen botol susu seterusnya masuk ke dalam badan anak semasa menghisap susu. Kesan buruk bahan kimia ini akan menjejaskan kesihatan anak untuk jangka masa panjang.

 

Kehidupan moden kini terlampau banyak pendedahan terhadap bahan kimia. Kadang kala anda perlu bersikap cerewet memilih produk penjagaan buat anak demi mengelakkan si manja daripada risiko penyakit dan alahan.