Dinding rumah yang pada asalnya bersih, tiba-tiba bertukar comot setelah dicemari dengan contengan 'karya' si kecil pasti menimbulkan amarah. Sebelum marah ataupun denda anak atas kesalahan tanpa sengajanya itu, anda perlu berlapang dada dan melihatnya dari sudut pandangan positif

1. Kemahiran koordinasi mata dan tangan

Aktiviti melukis terutama pada ruang yang luas dan besar membantu melatih kanak-kanak mengkoordinasi pergerakan tangan dan mata supaya menjadi lebih fokus. Ia adalah salah satu perkembangan kemahiran motor yang penting buat si kecil.

2. Latih kemahiran menulis

Minat si kecil terhadap seni dan kreativiti seperti melukis pada dinding, mempunyai kaitan rapat dengan kemahiran menulis. Anak anda belajar untuk menggenggam pensel, pensel warna mahupun krayon menggunakan tangannya. Pada masa yang sama, jari-jarinya digerakkan semasa membuat contengan di dinding. Daripada situ, dia membuat kawalan ke atas motor kasar dan halusnya yang merupakan asas untuk dia menulis huruf dan perkataan dengan baik dan cantik.

3. Mengembangkan daya imaginasi

Contengan anak di dinding memang 'menyakitkan' mata. Namun, di sebaliknya buat diri si anak, ia adalah hasil imaginasinya terhadap sesuatu objek. Bila ditanya kepada si kecil tentang apa yang dilukisnya, pasti anda tergamam melihat dia menerangkan imaginasinya itu.

Hal ini menunjukkan anak anda belajar untuk berfikir, berimaginasi dan menggambarkan pemikirannya menerusi visual. Pendek kata dia sedang mengembangkan daya kreativitinya.

4. Ruang yang besar

Fitrah kanak-kanak suka menconteng. Ia adalah salah satu daripada perkembangan motor kasarnya. Dalam pemikiran si kecil, dinding merupakan ruang yang paling baik untuk dia menconteng. Hal ini kerana dinding berkeluasan lebih besar jika dibandingkan dengan kertas. Apabila ruang untuknya 'berkarya' besar, memang seronok dia menggilap kemahiran motor kasar yang mahu dikuasainya.

5. Ekspresi diri

Dalam keadaan tertentu ada kanak-kanak lebih senang meluahkan perasaannya ke dalam bentuk tulisan. Oleh sebab itulah dia menconteng dinding sebagai salah satu cara dia mengekspresikan diri sendiri.