Memang boleh kecoh jadinya kalau anak tengah mengamuk terutama ketika berada di tempat awam. Bayangkan pula apabila kejadian mengamuk ini melibatkan anak kembar. Bergandalah keriuhannya.

 

Mengamuk adalah tingkah laku meluahkan ekspresi emosi atau respons terhadap suatu rangsangan dalaman atau luaran yang tidak selesa dan biasanya berlaku pada kanak-kanak yang berusia 18 hingga 36 bulan.

 

Ia biasanya dikaitkan dengan kelakuan secara tiba-tiba tanpa kawalan seperti menangis, menggigit, memukul, menendang, menjerit, memekik-mekik, melempar badan ke lantai, memukul tangan, menahan nafas, menghantukkan kepala ke lantai atau dinding, melempar barang mainan.

 

Tingkah laku ini adalah sebahagian daripada fasa perkembangan kanak-kanak dan salah satu asas mengawal diri. Ia semakin akan berkurangan atau berakhir apabila kanak-kanak mencapai umur empat tahun.

 

Biasanya kanak-kanak akan mengamuk dalam jangka masa yang cukup singkat iaitu antara 10 hingga 15 saat dan kadang kala boleh berterusan sehingga dua jam. Jika berlaku di kalangan anak kembar, ia dikenali sebagai sindrom TSE (Twin Escalation Syndrome) iaitu apabila salah seorang anak kembar mengamuk dan tingkah laku itu ditiru oleh kembarnya.

Si kembar akan mula mengikut mengamuk jika mendapati perbuatan itu mendapat perhatian daripada ibu bapanya. Berikut adalah punca terjadinya sindrom TSE

a. Rasa tidak selesa.

Kanak-kanak kembar yang letih, lapar atau tidak sihat selalunya cepat marah, meragam, merengek dan gelisah.

 

b.Perasaan cemburu

Wujud perasaan cemburu pada kembarnya atau rakan sebaya.

 

c.Tidak dapat luahkan

Tidak dapat bercakap apa yang diingininya kepada ibu bapa atau kepada kembarnya.

 

d.Tidak pasti tingkah laku betul atau salah

Mencuba sesuatu tingkah laku tanpa mengetahui sama ada betul atau salah.

 

e.Ingin perhatian

Apabila merasakan diri terpinggir dan akan cuba menarik perhatian dengan tingkah laku yang sesuai ataupun tidak.

 

f.Takut kepada sesuatu perkara

Takut kepada individu, haiwan atau benda boleh mengakibatkan kanak-kanak menjerit dan menangis.

 

 

g.Menerima rangsangan berlebihan

Kanak-kanak yang menerima rangsangan yang berlebihan seperti ditunjukkan flash kad dalam tempoh yang agak lama.

 

h.Rasa tertekan atau kecewa

Apabila gagal menyiapkan tugasan atau sesuatu aktiviti yang dilakukan. Misalnya gagal memasang lego, atau memasang bahagian tertentu barang mainan.

 

i.Mencari privasi

Inginkan ruang peribadi sendiri iaitu “ni dunia saya, biarlah saya buat apa yang saya suka”.

 

Langkah yang perlu diambil sekiranya si kembar mengamuk:

Sebelum berlaku

1. Kenal pasti apa kebiasaan tingkah laku yang ditunjukkan dan apakah tindak balas yang biasa ditunjukkan oleh kembar apabila berhadapan dengan sesuatu situasi.

 

2. Cuba konsisten dengan memberi respon jika anak mengamuk.

 

3. Cuba kenal pasti situasi yang membuatkan anak kembar cepat merasa letih, tidak selesa, lapar, hilang fokus dan sebagainya.

 

4. Pastikan anak kembar anda mendapat rehat yang cukup sebelum melibatkan dia dalam sebarang aktiviti bersama dengan orang dewasa.

 

5. Elakkan kerap menukar rutin atau persekitaran kelilingnya. Perubahan rutin dan ketidakselesaan akan mudah menyebabkan anak kembar anda mengamuk.

 

6. Sentiasa memberi anak kembar anda pilihan iaitu pilihan pada makanan, pakaian atau jenis aktiviti yang ingin dilakukan.

Ketika berlaku

7. Sediakan ruang “cool down place” tempat iaitu anda boleh membawa anak ke ruang itu untuk  bertenang.

 

8. Alihkan barang atau apa saja yang terdapat di persekitaran yang boleh membahayakan anak kembar anda.

 

9. Cuba alihkan anak kembar anda daripada situasi yang menyebabkan berlakunya tingkah laku tadi.

 

10.Sekiranya tingkah laku tersebut berlaku di meja makan,  jauhkan mereka dari meja makan untuk seketika dan biarkan mereka menangis atau menjerit di tempat lain.

11.Sebagai ibu bapa, anda seharus terus kekal bertenang apabila berhadapan dengan situasi ini.

 

12.Elak daripada menjerit atau memarahi anak kembar anda semasa dia sedang mengamuk.

 

13.Asingkan anak kembar anda. Sekiranya hanya salah seorang sahaja yang mengamuk, sebaiknya pisahkan mereka segera supaya perbuatan tersebut tidak dilihat dan ditiru oleh kembarnya.

 

14.Jangan pedulikan orang keliling yang turut memerhatikan kembar anda.

 

15.Terus fokus mengawasi tingkah lakunya dan ambil langkah yang sewajarnya pada anak anda. Jangan terus memenuhi kehendaknya hanya semata mata kerana anda malu dilihat oleh orang ramai.

 

16.Elakkan daripada cuba menasihati atau memberi alasan kenapa dia tidak boleh bertingkah laku demikian semasa kanak-kanak tersebut sedang mengamuk.

 

17.Jangan memberi ganjaran kepada anak sebagai alternatif supaya menghentikan tingkah laku ini.

 

18.Elakkan menghukum ketika sedang mengamuk.  Mereka bukannya anak yang nakal cuma mereka masih tidak dapat mengawal diri mereka

 

19.Tindakan mengabaikan tingkah laku ini hanya akan menyebabkan kanak-kanak tersebut merasa takut kerana dirinya tidak dipedulikan.

Selepas berlaku

20.Biarkan anak anda tenang seketika dengan cara memeluknya atau dengan membisikkan perkataan yang kasih sayang yang lembut seperti “mama sayang adik”.

 

21.Elakkan juga dari terus mengikut sahaja kehendak kembar anda atau terus memberikan apa yang diingini .