The American Academy of Pediatrics (AAP) mencadangkan bahawa kanak-kanak di bawah usia dua  tahun tidak dibenarkan menonton televisyen. Bagi kanak-kanak yang berusia dua tahun ke atas tidak lebih dua jam menonton program yang berkualiti. Ini disebabkan dua tahun awal kehidupan kanak-kanak dianggap masa yang kritikal untuk perkembangan otak.

 Menonton kartun di televisyen adalah aktiviti yang digemari oleh semua kanak-kanak. Namun jika terlalu lama akan menimbulkan kesan negatif. Lumrahnya kanak-kanak mula menonton kartun sejak seawal usia sebulan. Apabila kanak-kanak mencapai usia dua tahun atau tiga tahun akan menjadi penonton tegar.

 Jika terlalu banyak masa dihabiskan untuk menonton televisyen secara berterusan lebih daripada empat jam sehari akan memberi kesan negatif kepada anak. Televisyen dan lain-lain media eletronik tidak boleh menandingi aktiviti perkembangan kanak-kanak.

Ikuti antara kesan kekerapan menonton televisyen dalam tempoh yang lama.

 1.Kanak-kanak yang menonton lakonan ganas akan menunjukkan tingkah laku yang agresif. Mereka lebih cenderung meniru watak-watak animasi kegemaran mereka. Malah imej keganasan itu akan memberi impak kepada dirinya untuk melakukan peniruan.

2.Mengganggap dunia ini menakutkan yang mungkin akan berlaku pada dirinya. Walau pun diberitahu bahawa imej yang ditunjukkan bukan sesuatu yang sebenar tetapi kanak-kanak tidak dapat membezakan antara fantasi dan realiti.

3. Mungkin akan mengalami obesiti atau kegemukan. Semasa menonton television kanak-kanak tidak aktif dan akan memakan makanan ringan yang tidak sihat. Kajian menunjukkan bahawa semakin kurang kanak-kanak menonton television memberi kesan kepada pengurangan berat badan.

 4.Kanak-kanak yang terlalu kerap menonton kartun dalam jangka masa yang lama berdepan dengan kaca televisen berkemungkinan akan menghadapi masalah mental dan emosi, masalah gangguan mata dan masalah fizikal semakin meningkat.

5.Dikatakan tidak memberi motivasi untuk kanak-kanak belajar. Mereka cukup seronok dalam dunia tersendiri dengan watak-watak kegemarannya. Malah menjadikan kanak-kanak seorang yang kurang proaktif.

6. Bahasa yang digunakan oleh watak-watak kartun dikatakan menggunakan bahasa yang tidak sesuai kepada kanak-kanak. Perkataan yang digunakan tidak memberi makna dan berupa cakap kosong. Suatu perkembangan bahasa yang tidak baik untuk kanak-kanak.

 Secara keseluruhannya, ibu bapa perlu mengawal masa untuk menonton dan memilih program siaran kartun di televisyen yang sesuai dengan usia kanak-kanak. Kartun berunsur pendidikan digalakkan untuk ditonton oleh kanak-kanak. Kanak-kanak perlu dididik untuk menonton kartun yang telah dicadangkan oleh ibu bapa dan penjaga. Pihak ibu bapa perlu bertegas dengan jadual waktu menonton dan belajar.

 MESTI TAHU

Satu kajian telah dijalan oleh sekumpulan penyelidik dari University of Virginia terhadap kanak-kanak berusia empat tahun untuk ujian keupayaan penyelesaian masalah. Didapati kanak-kanak yang menghabiskan masa lapang dengan melakukan aktiviti tanpa melihat kartun sebanyak 70% berjaya menyelesaikan masalah. Manakala 35% berjaya diselesaikan oleh kanak-kanak yang menonton kartun berunsur pendidikan. Sebaliknya pencapai terendah sebanyak 15% kanak-kanak yang menonton kartun yang tiada unsur pendidikan langsung.