Memulakan pengalaman baru merupakan satu situasi yang boleh membawa kesan positif dan juga negatif pada anak terutamanya anak awal usia.  Biasanya anak awal usia memerlukan masa untuk menyesuaikan diri untuk menghadapi situasi atau suasana baru. 

Sehubungan dengan itu anak perlu disediakan untuk menghadapi situasi baru. Menyediakan anak untuk jejakkan kaki pertama kali ke taska dan tadika juga merupakan situasi baru yang sangat perlu diambil perhatian oleh ibu bapa. Berikut adalah beberapa tip yang boleh dijadikan panduan oleh ibu bapa dalam menyedia dan menyiapkan emosi dan mental anak bagi menghadapi situasi baru.

1.    Bercerita dengan anak tentang rutin baru yang bakal dilalui. Senaraikan perubahan rutin yang bakal berlaku apabila mula menjejakkan kaki ke taska/tadika

2.    Bercerita juga pada anak tentang perkara yang tidak akan berubah dalam rutin hariannya. Contoh: Masih boleh bermain seperti biasa dan sebagainya

3.    Buat lawatan ke taska/tadika sebelum hari pertama bermula. Biasakan anak dengan suasana atau persekitaran taska/tadika.

4.    Maklumkan pada anak nama guru/penjaga yang bakal mengajar atau menjaganya sepanjang di taska/tadika. Sebolehnya bawa dan perkenalkan mereka terlebih dahulu dengan guru/penjaga kanak-kanak tersebut.

5.    Ibu bapa perlu peka dan hadir pada perjumpaan yang berhubung dengan aktiviti pada minggu orientasi. Dapatkan jadual persekolahan dan jadual aktiviti anak di taska/tadika supaya membantu memudahkan urusan menyediakan anak untuk ke taska/tadika.

6.    Bercerita tentang situasi yang bakal ditempuh di taska/tadika. Berceritalah tentang suasana bilik darjah, tentang masa makan, masa belajar , masa main dan masa rehat. Kebimbangan atau ketakutan akan dapat dikurangkan bila telah di beri pengalaman tentang situasi tadika atau prasekolah.

7.    Bacakan pada anak buku-buku yang berkaitan dengan cerita hari pertama ke sekolah.

8.    Buat latihan di rumah bagi menghadapi hari pertama di tadika/prasekolah. Cuba lakukan semua aktiviti yang bakal berlaku pada hari pertama nanti seperti:

  •     Bangun awal (tetapkan waktu bangun yang sesuai)
  •     Makan pagi
  •     Persediaan beg
  •     Pakai uniform dengan lengkap
  •     Kenderaan untuk ke taska/tadika

 

9.    Latih anak untuk belajar mengurus diri dan peralatan yang perlu dibawa ke taska/tadika

10.    Bagi mengurangkan rasa takut ditinggalkan, ibu bapa boleh memasukan masukkan gambar ahli keluarga dalam beg sekolahnya