Bagi yang bergelar ibu tentu sudah faham betul dengan situasi anak merengek dan nak 'melekat' sahaja. Perkara ini adalah normal dan akan berlaku dalam satu peringkat usia si kecil. Biasanya antara usia setahun hingga empat tahun, mereka suka merengek tanpa difahami oleh ibu dan ayah.

 

Sebagai manusia biasa adakalanya perangai merengek si kecil boleh membuatkan kita hilang kesabaran apatah lagi bila baru balik kerja, tengah penat dan stres selepas mengharung kesesakan jalan raya dan sampai di rumah, anak yang baru diambil dari rumah pengasuh atau taska merengek tak tentu pasal.

 

Kadang kala boleh hilang sabar hingga terpaksa memarahi atau menengking si kecil hingga menyebabkan dia menangis ketakutan dan akhirnya ibu yang menyesal.

 

Bukan mudah untuk bersikap sabar dan terus berlembut melayan kehendak anak yang serba tak kena. Tetapi sebelum kita melayan amukan anak dengan amukan juga lebih baik kita fahami apa sebenarnya punca anak merengek dan tak mahu berenggang.

 

1. Anak tidak selesa

 

Kemungkinan anak anda mengantuk, penat kerana banyak bermain dengan kawan-kawan di rumah pengasuh/taska, lapar, dahaga, letih atau tidak sihat. Oleh kerana masih belum pandai memberitahu keinginannya maka dia menyatakan ketidakselesaanya melalui rengekan dan asyik hendak 'melekat' dengan ibu sahaja.

 

2. Ingin perhatian

 

Sudahlah seharian anda tidak berjumpa dengannya,bila sampai di rumah anda hanya meletakkannya di depan TV dan berharap supaya si kecil duduk diam menonton TV supaya anda boleh membuat urusan lain. Ya, anda memang perlu mandi dan membuat hal lain di rumah tetapi jangan lupa sebenarnya si kecil mahukan perhatian daripada ibu dan ayahnya. Dia beranggapan apabila merengek barulah ibu dan ayah dapat memberikan perhatian dan melayannya.

 

3. Tunjukkan kekuatannya

 

Perasan tak yang anak kecil memang sukar hendak mengikut cakap ibu dan ayah. Adakalanya mereka kerap menolak apa yang disuruh oleh ibu dan ayah sebaliknya lebih suka dengan pilihannya sendiri. Ia adalah sebahagian daripada sikap mereka yang hendak menunjukkan bahawa mereka juga boleh mempunyai kekuatan dan keinginan sendiri seperti ibu dan ayah. Bila keinginannya tidak dipenuhi, si kecil akan merengek.

 

4. Melepaskan geram

 

Mungkin apabila ditegur atau dimarahi atas kesilapan yang dilakukan, anak akan melepaskan kemarahan atau sikap memberontak melalui rengekan.

 

5. Mereka masih kecil sebenarnya

 

Tanpa kita sedari, kadang kala sikap kita sendiri terlalu tinggi harapan pada anak. Sekiranya anak sudah boleh berjalan atau bercakap maka kita beranggapan mereka sudah besar dan boleh melakukan sesuatu seperti orang dewasa. Misalnya, kita meminta mereka makan dengan cepat, jangan menumpahkan makanan atau minuman dan sebagainya. Jika mereka tersilap kita segera menengking dan memarahi mereka. Akibatnya anak yang masih kecil akan menangis, merengek dan mahu kita mendukungnya walaupun kita baru memarahinya.

 

Sedar atau tidak, anak-anak sebenarnya masih lagi memerlukan perhatian dan sokongan daripada ibu bapa. Mereka masih belum faham lagi larangan atau kemarahan yang kita lepaskan kepada mereka terutama jika baru berusia setahun. Jadi, sebenarnya tidak adil sekiranya kita melepaskan kemarahan kepada mereka atas kesilapan kecil yang dilakukan. Bukankah mereka kanak-kanak yang baru hendak belajar tentang kehidupan. Ketahuilah bahawa mereka sebenarnya rindukan belaian kasih sayang daripada ibu dan ayah yang seharian tidak ditemui.