Shiela selalu risau apabila melihat anaknya, Sara yang berusia tiga tahun kerap bercakap seorang ketika bermain sendirian. Kadang kala terdetik di hatinya, “normalkah anak aku ni?” Sara paling suka berimaginasi ketika sedang bermain dengan anak patung permainannya.

Dia selalu membayangkan dirinya adalah seorang puteri atau apa- apa watak utama seperti kartun kegemarannya. Sebenarnya itulah dunia kanak-kanak. Berimaginasi adalah sebahagian daripada keperluan mereka. Mereka mempunyai imaginasi tanpa batasan. Ini sebabnya mengapa imaginasi penting untuk otak si manja.

1. Rangsang kemampuan berfikir

Ketika bermain dengan anak patung atau mendengar cerita daripada ibu dan ayah, anak akan berimaginasi tentang apa yang dia inginkan. Sebagai ibu ayah, anda tidak perlu risau akan hal ini asalkan ia tidak membahayakan si kecil. Biarkan anak melakukan permainan imaginatif kerana ia mampu merangsang kemampuan pemikirannya.

2. Kreativiti berkembang

Permainan imaginasi bagus untuk membantu kemampuan kognitif anak di masa hadapan. Kanak-kanak memerlukan rangsangan supaya kreativitinya berkembang. Rangsangan yang dapat dilakukan adalah dengan bermain dan membiarkan mereka berimaginasi sebebasnya ketika mereka sedang bermain.

3. Rangsang otak

Kreativiti itu mesti dikembangkan dan dirangsang. Alat permainan dan cerita dongeng mampu membantu anak merangsang otaknya. Jangan menghalang anak bermain dengan imaginasi mereka berdasarkan jantina. Misalnya, anak perempuan tidak boleh bermain alat permainan kereta, lori dan sebagainya kerana ia sesuai untuk anak lelaki. Sementara anak lelaki pula tidak dibenarkan bermain anak patung kerana bimbang akan keliru identiti.

4. Lebih bijak

Yang penting bagaimana daya kreatif anak terhadap alat permainan itu. Kreativiti mereka yang mesti dikembangkan. Mereka perlu berimaginasi. Dua aktiviti permainan yang boleh kita lakukan untuk merangsang imaginasi anak iaitu bermain peranan sebagai doktor, putera, puteri atau sesi bercerita menggunakan buku atau puppet tangan. Kedua permainan ini membantu merangsang otak kreatif si kecil.

5. Eratkan hubungan ibu bapa & anak

Bagi membantu anak berimaginasi dengan baik, ibu dan ayah mesti rajin memperkenalkan anak pada permainan kreatif atau bercerita kepada mereka. Jangan tinggalkan anak bermain bersendirian. Anak-anak mesti selalu ditemani ibu atau ayah ketika bermain tapi janganlah kita mengatur bagaimana seharusnya cara mereka bermain.

Biarkan mereka berimaginasi sebebasnya bagi membantu pembentukan otak kreatif mereka.