"Bang, cuba tengok anak kita. Kenapa lambat bercakap. Tak macam Izara anak Kak Mira tu. Padahal mereka kan sebaya," adu Munira kepada suaminya.

 

Tanpa disedari kita gemar membandingkan anak sendiri dengan anak kawan, jiran, saudara mara bahkan dengan anak yang lain juga. Ia memang sikap semula jadi yang normal di kalangan ibu bapa.

 

Sebelum anda asyik merungut dan membandingkan kebolehan dan keupayaan anak sendiri dengan anak orang lain lebih baik semak beberapa perkara ini.

 

1. Setiap anak unik

 

Maksudnya setiap anak itu berbeza antara satu sama lain dan mempunyai keistimewaan tersendiri. Perbezaan itu sudah Allah ciptakan sejak mereka berada dalam kandungan ibu lagi. Sepanjang perkembangannya, perbezaan seorang anak dengan yang lain semakin jelas.

 

2. Cuba pandang anak anda dengan anak orang lain

 

Bukankah mereka berbeza. Contoh, nama, tarikh lahir, jantina, sikap, perilaku. Allah SWT menciptakan setiap manusia dengan keunikan tersendiri.

 

3. Faham kebolehan anak

Sejak usia bayi lagi, walaupun lahir pada tarikh yang sama tetapi kebolehan mereka untuk belajar meniarap, merangkak, duduk, berjalan dan sebagainya tidak sama.

 

4. Apa keperluan anak?

 

Ada anak terlalu aktif dan tak boleh duduk diam. Sementara ada anak lain yang sama usianya hampir tidak bergerak sama sekali. Nampakkan perbezaan dalam hal keperluan mereka untuk bergerak.

 

5. Minat anak anda

 

Biasanya perbezaan minat seseorang anak banyak dipengaruhi oleh persekitaran dan cara dia dibesarkan. Apabila minat tersebut terbentuk dalam diri seorang anak, ini akan menambahkan ciri keunikan seorang anak. Misalnya anak yang sulung gemar melukis sementara anak kedua pula lebih minat bermain lego.

 

Apa kelebihan memahami keunikan anak?

 

a. Elak anak berasa tertekan kerana keupayaan, keperluan dan minatnya dihalang.

 

b. Dengan galakan dan panduan, anak akan menanamkan keyakinan diri yang tinggi. Mereka boleh mengembangkan potensi dirinya.

 

c. Supaya kita boleh membantu menggilap bakat yang ada dalam diri anak berbanding memaksanya membuat apa yang kita inginkan.

 

d. Memberi peluang anak untuk berani menyatakan pendapat secara berhemah.

 

Secara tidak langsung proses membesarkan anak anda menjadi individu yang berkeyakinan tinggi serta berakhlak mulia menjadi lebih mudah. Apabila ibu bapa belajar mengenal keunikan anak dalam hal kebolehannya maka sudah tentu dapat menyesuaikan dengan keperluannya.

 

Apabila keperluan anak dapat dipenuhi maka ia membantu perkembangan mereka ke tahap maksimal.

Sebagai ibu bapa, kita perlu menjaga amanah Allah SWT ini sebaiknya. Terima kenyataan bahawa setiap anak mempunyai keistimewaan tersendiri sehingga tidak perlu membandingkannya dengan anak lain.

 

Ada banyak perkara yang boleh kita lakukan untuk kebaikan anak daripada sekadar melihat kekurangannya atau membandingkannya dengan anak orang lain.