Semakin membesar saiz perut, semakin tidak selesa dibuatnya. Sedangkan ketika itu rehat secukupnya amat diperlukan oleh ibu yang mengandung. Namun masalah paling sukar iaitu mendapatkan tidur yang lena.

 

Badan yang letih dan lesu perlukan rehat tetapi mata tidak boleh lelap dengan lena kerana semua posisi tidur serba tak kena. Kebanyakan ibu hamil berkongsi masalah yang sama. Jadi, apa yang harus dilakkukan?

 

Mengikut kajian, tidur dalam keadaan mengiring ke kiri dapat meningkatkan aliran darah dan nutrisi ke plasenta dan janin. Buah pinggang ibu hamil juga akan bekerja lebih efisien, dengan menghilangkan cecair dan toksin dari dalam badan.

 

Dalam posisi ini, cecair berkumpul di kaki dan tangan yang menyebabkan kaki membengkak akan berkurangan. Paling penting, tidur mengiring juga dapat mengurangkan aliran darah ke jantung dan menyebabkan penurunan aliran jantung.

 

Tidur dalam keadaan terlentang amat tidak digalakkan kepada ibu hamil terutama ketika trimester ketiga. Ini kerana ia akan membuatkan rahim ibu menekan tulang belakang, otot punggung, usus dan pembuluh darah utama.

 

Akibatnya, punggung menjadi sakit dan penurunan aliran darah membuatkan anda tidak selesa selain mengurangkan pengaliran darah ke janin. Akhirnya ibu akan merasa pening, tekanan darah rendah, berdengkur, menambah berat badan dan mengalami gangguan pernafasan (sleep apnea).

 

Oleh itu biasakan diri anda tidur mengiring ke kiri sejak awal kehamilan lagi. Memang tidur dalam satu posisi sepanjang malam akan membuatkan anda tidak selesa, jadi anda boleh mengubah posisi dari kiri ke kanan. Namun, sebaiknya lebih banyak mengiring ke kiri demi kesihatan ibu dan bayi dalam kandungan.

 

Tip mudah tidur

*Elakkan minuman yang mengandungi banyak kafein.

*Elak daripada makan terlalu banyak beberapa jam sebelum tidur. Makan lebih banyak pada waktu sarapan dan tengah hari, dan sedikit ketika makan malam.

*Biasakan tidur dan bangun pada waktu yang sama setiap hari.

*Elakkan melakukan aktiviti terlalu berat menjelang tidur, sebaiknya buat aktiviti menenangkan seperti berendam dalam air suam dan minum susu suam.

* Adakah anda kerap terjaga kerana kejang? Tekan kaki dengan kuat pada dinding. Tambahkan pengambilan makanan berkalsium dalam menu hidangan.