"Eeee bam bamnya dia. Geram tengok pipi montel anak kau ni," kata Emi sambil mencubit manja pipi anak Mira yang berbadan montel dan berpipi tembam.

Bagi kebanyakan orang, bayi yang montel lagi tembam nampak sihat dan sangat comel. Jadi, tidak hairanlah jika ramai ibu bapa beria-ia ingin anak mereka makan banyak agar cepat gemuk. Tapi tahukah anda bahawa perbuatan tersebut sebenarnya memudaratkan anak anda seterusnya menjadi pemangkin ke arah obesiti.

Kanak-kanak akan termasuk dalam kategori obes jika berat badannya dua kali ganda daripada berat yang sepatutnya. Kajian menunjukkan bahawa sekiranya obesiti di kalangan kanak-kanak tidak dibendung awal, 70 peratus daripada mereka akan terus membesar menjadi orang dewasa yang gemuk. Inilah yang perlu dielakkan.

Obesiti berlaku akibat wujud lebihan tenaga positif dalam badan iaitu berlakunya pengambilan makanan lebih daripada yang diperlukan. Keadaan seperti ini berlakuk apabila seseorang itu makan banyak dan tidak bersenam. Badan menjadi gemuk bukan hanya kerana lemak yang disimpan tetapi juga hasil daripada pembentukan otot pejal. Orang bertubuh besar perlukan lebih banyak otot pejal untuk bergerak dan penggunaan tenaga sewaktu rehat juga lebih tinggi berbanding mereka yang bersaiz normal.

Kanak-kanak biasanya belajar makan daripada orang-orang di sekeliling mereka terutamanya ibu bapa sebab itu ibu bapa mesti mengamalkan tabiat pemakanan yang baik supaya anak-anak boleh mencontohi corak pemakanan. Pengambilan makanan yang berlebihan oleh kanak-kanak hanya akan menyebabkan mereka menjadi obes. Biasanya kanak-kanak yang gemuk akan makan banyak kerana mereka perlukan lebih tenaga untuk bergerak. Jadi, untuk mengelakkan anak makan tanpa henti, anda mesti memantau pengambilan makanan mereka.

Makanan yang mengandungi karbohidrat kompleks boleh mengenyangkan. Hasilnya, kuantiti makanan yang diambil berkurangan. Oleh yang demikian, bagi mengelakkan anak menjadi obes, pastikan dia mengambil makanan kaya karbohidrat kompleks secukupnya supaya tidak rasa lapar.

Biasanya, kanak-kanak mendapat tenaga daripada lemak. Walau bagaimanapun, pengambilan lemak berlebihan boleh menyebabkan 90 hingga 95 peratus daripadanya disimpan di dalam badan. Hal ini juga perlu dipantau. Anak mestilah anda mengambil lemak mengikut keperluan tubuh mereka sahaja, bukan berlebihan.

Pengambilan makanan kaya serat seperti sayur-sayuran dan buah-buahan secara berkala juga baik untuk kanak-kanak yang mengalami masalah obesiti kerana makanan tersebut mengenyangkan dan rendah lemak. Selain makanan, air yang diambil oleh kanak-kanak obes juga perlu dikawal. Ibu bapa perlu mengehadkan pengambilan minuman manis oleh anak mereka. Ini kerana rasa manis menggalakkan sesuatu makanan itu dimakan dengan lebih cepat.

Ibu bapa dinasihatkan supaya menjaga diet harian anak sebaik mungkin agar tidak obes. Bagi ibu bapa yang mempunyai anak obesiti pula, tidak ada perkataan terlambat dalam hal untuk mengembalikan berat badan normal anak-anak. Yang pentingnya kerja keras dan mencuba sedaya-upaya.

Panduan elak OBESITI :

1. Jangan Makan Di Depan Televisyen

Jangan sesekali benarkan anak anda makan sambil menonton televisyen. Hal ini adalah kerana mereka akan leka menonton rancangan yang disiarkan tanpa menyedari yang mereka telah makan dalam kuantiti yang banyak.

2. Sarapan Penting

Ibu bapa mestilah memastikan anak mereka mengambil sarapan pagi setiap hari. Kanak-kanak perlukan tenaga setiap hari. Jadi, mereka perlulah mulakan hari dengan sarapan pagi yang berkhasiat dan mampu memberi manfaat. Tidak mengambil sarapan pagi akan membuatkan anak anda makan lebih banyak pada waktu tengah hari. Hasilnya, dia berpotensi untuk mengalami masalah obesiti.

3. Bekalan Berkhasiat

Seboleh-bolehnya, sediakan makanan yang berkhasiat lagi menyihatkan sebagai bekalan anak ke sekolah. Amalan ini penting bagi mengelakkan anak membeli makanan rapu yang banyak dijual.

4. Pelbagaikan Makanan Anak

Bagi kanak-kanak yang terlalu memilih makan dan hanya memakan sesetengah jenis makanan sahaja, ibu bapanya perlulah kreatif agar anak dapat makan makanan yang seimbang. Sebagai contoh, sekiranya anak anda tidak makan sayur, hancurkan sayur tersebut dan masukkan ke dalam hidangan yang digemarinya. Begitu jugalah jika anak tidak sukakan makanan berprotein, ‘sorok’lah ikan atau daging dalam makanan kegemaran mereka.

5. Kurangkan Pengambilan Gula

Ibu bapa yang mempunyai anak obesiti dinasihatkan agar mengurangkan atau makanan manis masuk ke dalam rumah. Jika menyediakan sendiri kuih muih, pastikan kandungan gulanya juga dikurangkan. Seelok-eloknya, jangan beri anak makan gula-gula. Sekiranya semua ini dijadikan amalan, anak anda pasti tidak akan obes.

6. Makanan Tinggi Kalori

Semak makanan yang anda berikan kepada anak untuk memastikan anda tidak memberi mereka makanan tinggi kalori.

7. Makanan Segera

Bagi sesetengah keluarga, makanan segera umpama makanan ruji mereka. Alasannya mudah dan cepat. Tabiat inilah perlu dibuang agar pemakanan anak lebih terjaga dan mereka tidak obes.

8. Bijak Membeli

Ibu bapa terutamanya yang mempunyai anak obesiti perlulah berhati-hati ketika memilih makanan untuk anak mereka agar tidak terbeli makanan yang tinggi kandungan lemak, gula dan garamnya. Makanan untuk anak obesiti mestilah rendah kalorinya.

Semoga usaha anda menjaga tahap kesihatan anak-anak bermula daripada pemakanan berjaya!