Uri adalah selaput dan saluran yang berkembang mengikut perkembangan bayi. Ia adalah merupakan sokongan kepada bayi. Bagi sesetengah negara seperti Amerika Syarikat, uri dianggap sebagai sisa klinikal dan akan dilupuskan oleh pihak hospital. Di negara kita, uri akan diserahkan kepada ibu bapa selepas proses bersalin selesai sebelum pesakit discaj dari wad bersalin untuk diuruskan.

    Ambil tahu langkah pengurusan uri perlu diketahui dan persediaan dilakukan sebelum kelahiran terutama sekali bagi ibu dan bapa kali pertama. Ikuti langkah demi langkah berikut;

  1. Uri akan dicuci dengan air bagi menghilangkan darah sebelum diserahkan
  2. Uri perlu diuruskan secepat mungkin setelah dibawa pulang ke rumah supaya ia tidak berbau.
  3. Cuci uri dengan dimulakan dengan Basmalah.
  4. Cuci bersih dengan menggunakan air bagi menghilangkan darah yang masih tertinggal. Elakkan daripada menggunakan sabun atau syampu.
  5. Bilas dengan air bersih sambil berselawat dan berdoa supaya uri tersebut bersih.
  6. Lumurkan garam dan cuci bersih.
  7. Kemudian lumurkan dengan asam jawa untuk menghilangkan bau hanyir darah.
  8. Bau hanyir darah perlu dihilangkan kerana ia boleh menyebabkan  binatang seperti kucing, tikus atau anjing menggali dan memakan uri tersebut.
  9. Perahkan limau ke atas uri untuk mengharumkan uri.
  10. Boleh juga ditanam bersama garam dan asam jawa bagi tujuan untuk mengelakkan binatang liar menggali dan memakan uri tersebut.
  11. Baluti uri menggunakan pembalut yang mudah reput seperti beg plastik mudah reput, kotak  bagi mengelakkan air basuhan yang mungkin masih mempunyai kesan darah menitik.
  12. Kemudian  balutinya menggunakan kain.
  13. Kain tersebut tidak semestinya kain berwarna putih.
  14. Balutkan bungkusan uri membentuk seperti bunjut bagi memudahkan ia dibawa ke tempat yang hendak ditanam.
  15. Sediakan lubang untuk menanam uri dengan menggali tanah sedalam mungkin supaya  uri tidak dapat dikesan atau dikorek binatang.
  16. Baca Basmalah dan selawat semasa meletakkan uri dalam dalam dan menimbusnya.