Semakin mendekati tarikh bersalin, ada bakal ibu yang mula menjadi risau dan takut kerana bimbang tidak boleh melahirkan bayi secara normal.

Sebenarnya ramai ibu hamil yang cukup takut kalau perlu melahirkan bayi secara pembedahan caesarean. Ada bermacam perkara yang akan merunsingkan fikiran mereka termasuk memikirkan kos bersalin secara caesarean yang sangat mahal (jika memilih bersalin di hospital swasta) dan proses penyembuhan luka yang mengambil masa lama.

Namun, ada beberapa perkara yang dihadapi oleh ibu hamil membuatkan doktor perlu memilih kaedah bersalin secara pembedahan caesarean. Antara sebab-sebabnya adalah

1. Bayi lambat lahir

Kalau bayi masih belum ada tanda hendak dilahirkan selepas doktor memberikan tempoh seminggu daripada tarikh jangkaan bersalin.

2. Bayi hampir lemas

Denyut jantung bayi mengalami kenaikan dan penurunan sepanjang proses bersalin. Biasanya doktor akan menyarankan bakal ibu melahirkan secara pembedahan kerana bimbang bayi lemas.

3. Kedudukan kepala bayi tidak masuk laluan kelahiran

Apabila kepala bayi tidak masuk ke laluan kelahiran maka sukar untuk melalui kelahiran normal.

4. Ibu hamil bayi kembar

Salah satu keadaan sebab kelahiran caesarean perlu dilakukan iaitu jika ibu hamil bayi kembar. Bagaimanapun bukan bermakna kelahiran normal tidak boleh berlaku namun ia agak berisiko.

5. Ukuran bayi yang terlalu besar

Memang sukar hendak menentukan saiz sebenar bayi menjelang hari bersalin. Namun, sekiranya doktor mendapati ukuran bayi terlalu besar dan berisiko jika ibu bersalin normal makan pembedahan caesarean mesti dilakukan.

Apa pun prosedur kelahiran yang mesti dijalani bakal ibu, bertenang sahaja. Patuhi arahan doktor kerana mereka lebih mengetahui apa kaedah yang sesuai untuk ibu.