Semua isteri mahukan suami menemankannya ketika hendak bersalin. Sakit kontraksi saat hampir bersalin memang amat menyakitkan hingga menyebabkan ada ibu hamil yang menitiskan air mata.

Kehadiran suami diharapkan sangat boleh membantu memberikan kata-kata semangat serta mengurangkan rasa sakit yang dialami.

Sekurang-kkurangnya dapatlah ibu hamil meluahkan dan berkongsi kesakitan yang dialami dengan orang paling terdekat iaitu suami.

Sebagai suami, janganlah disebabkan anda tidak merasakan kesakitan tersebut maka tak tahu apa hendak dibuat. Bila isteri mengadu sakit ketika kontraksi berlaku, anda hanya menyuruhnya bersabar sedangkan anda sibuk melayan 'handphone'.

Jom tengok apa yang patut encik-encik suami semua lakukan bagi membantu meringkankan kesakitan isteri tatkala kontrasi bersalin menyerang.

1. Urutlah isteri

Urutan lembut penuh kasih sayang dapat melegakan isteri. Tiada ubat tahan sakit yang boleh mengalahkan sentuhan kasih sayang daripada suami ketika sakit hendak bersalin.

Urutan boleh menyebabkan pelepasan hormon endorfin yang menjadi pelega sakit kontraksi yang sedang dialami. Cara mengurut tak perlulah berurut seperti orang sakit terseliuh. Cukup sekadar mengurut bahagian bahu isteri untuk melegakan bahu dan bernafas lebih teratur.

Selain itu, urut kaki dari buku lali ke jari kaki, atau membuat lingkaran dengan ibu jari di seluruh tapak kaki. Urutan pada kaki juga membantu memanaskan kaki yang sejuk. Urutan tangan melibatkan pergelangan dan tapak tangan pula boleh menjadi sangat menenangkan.

2. Ingatkan isteri teknik pernafasan

Bagi pasangan suami isteri yang telah mengikuti kelas antenatal, jangan lupa praktikkan apa yang dipelajari. Teknik pernafasan yang betul dapat mengurangkan kesakitan dan memudahkan kelahiran bayi. Ingatkan isteri anda, kerana ketika sakit dia cenderung untuk lupa segala apa yang dipelajari.

3. Sediakan makan dan minum

Jika suami boleh berada di bilik bersalin menemankan isteri, sediakan bekalan minuman dan snek (seperti kurma atau roti) yang cukup sebagai bekalan untuk isteri. Suami boleh bantu beri isteri minum air sedikit demi sedikit bagi melegakan kesakitan yang dialami. Tetapi ia hanya sesuai untuk kelahiran normal berisiko rendah sahaja.

4. Hulurkan bantuan

Kebanyakan papa tidak tahu apa patut dibuat semasa di bilik bersalin. Tidak dinafikan ramai yang terkedu terutamanya bagi yang kali pertama. Jadi, sediakan kelengkapan pakaian bayi dari beg hospital yang anda bawa. Sekurang-kurangnya ada sumbangan yang anda berikan semasa isteri sedang bergelut dengan kesakitan!

5. Bagi semangat

Semakin hampir waktu hendak melahirkan bayi, semakin kuat sakit yang dirasakan. Masa ini memang tak boleh nak bercakap dah. Kata-kata semangat daripada suami tentu akan menyebabkan isteri lebih bermotivasi.

Bagi Muslim, boleh berzikir dan membaca ayat-ayat Al-Quran untuk menenangkan isteri. Berikan tangan anda untuk digenggam isteri. Begitu juga semasa meneran, dorong isteri untuk meneran sehabis baik supaya si kecil mudah dilahirkan. Jika boleh, pangku isteri di katil semasa meneran sekiranya dibenarkan pihak hospital.

Walaupun kesakitan melahirkan anak hanya dilalui oleh isteri tetapi penglibatan suami yang sama-sama melalui susah payah tersebut memberikan kekuatan kepada isteri.