Siapa yang tidak ingin hamil dan menjadi seorang ibu? Setiap wanita normal pasti mengimpikannya malah ada yang berkata, “Tak sabar rasanya untuk lalui saat bergelar ibu”.  Tetapi ada 6 perkara yang ibu-ibu kena buat. Memang nampak simple. Tetapi ia amat bermakna untuk perkembangan janin secara positif dalam rahim ibu.

Hakikatnya ikatan kasih sayang ibu dan anak bagaikan air sungai mengalir yang tiada sudahnya. Perasaan ini wujud bermula apabila ibu mendapat tahu ada ‘orang di dalam’. Jangan lepaskan setiap momen indah dalam memberi komitmen sejak dia bernyawa dalam rahim anda sehingga si manja membesar mengenal dunia.

Sesungguhnya bagi yang baru berkahwin, sudah pastinya berdebar menanti saat itu walaupun tahu perjalanan kehamilan itu bukannya mudah. Ikuti 6 perkara yang ibu-ibu kena buat selepas disahkan hamil.

6 perkara ini perlu buat selepas ibu disahkan hamil

1.Jaga pemakanan

Bermula detiknya disahkan hamil, mama secara automatiknya akan sedar kebaikan menjaga apa yang dimakan kerana pastinya anda ingin memberi sumber yang terbaik untuk embrio membesar.

2.Jaga diri

Secara serta merta mama akan mengurangkan aktiviti-aktiviti yang lasak bahkan papa semakin ringan tulang membantu membuat kerja rumah agar anda boleh berehat secukupnya. Kalau dulu, mama menjaga makan minum papa tapi bila hamil papa pula yang akan melayan mama bagaikan tuan puteri. Mama juga tidak lagi berkasut tumit tinggi. Biarlah mama tidak bergaya asalkan anak yang di kandung berkembang dan sihat.  

3.Mula bercakap sambil mengusap perut

Saat inilah rasa kasih semakin bercambah bila tanpa mengira masa dan waktu ada sahaja yang ingin dibualkan dengan bayi anda. “Bayi mama sihat ke?, “Baby mama duduk baik-baik ye, mama nak buat kerja,” antara kata-kata yang sering didengari dari mulut ibu mengandung. Ia cara psikologi untuk merangsang janin dalam perut.

4.Tersenyum bila bayi mula menendang

Inilah detik terindah yang akan dikongsi bersama suami tercinta. Tendangan bayi adalah interaksi pertama mama dengannya. “Siapa sayang mama, cepat tendang sikit?”. Selepas itu, bergerak-gerak perut anda kerana ditendang olehnya . Pasti tersenyum bangga anda bila si kecil memberi tindak balas atas pertanyaan tadi.

5.Membacakan ayat-ayat al-Quran

Ketika ada masa terluang untuk bersendirian dengan anak, surah Al-Mu’minun, Lukman, Yusuf, Maryam dan Ar Rahmaan adalah antara ayat-ayat yang baik untuk diperdengarkan kepada si kecil anda.

6.Perubahan fizikal yang ketara

Tiada siapa pun ibu yang mengandung dapat mengelak daripada perkara ini. Setiap bahagian tubuh badan akan membesar, namun ia sepatutnya dinikmati secara positif agar emosi anda tidak terganggu memikirkan hal-hal seperti ini. Ciptalah ayat-ayat motivasi yang boleh menjadi inspirasi buat anda.