Macam senang saja ibu ini melahirkan bayinya. Siapa sangka, di tepi tangga flat kediamannya, wanita ini boleh bersalinkan seorang bayi lelaki comel. Semunya berlaku dengan izin Allah SWT.

Seorang wanita selamat melahirkan anak lelaki pada pagi 7 Januari lepas di tangga sebuah flat di Kulim Square. Suami ibu terbabit tiada di rumah pada masa itu.

Seorang wanita muda membantu urusan kelahiran bayi tersebut. Sudah tentu ia menjadi satu kenangan indah yang tidak akan dilupakan olehnya.

Agaknya apakah punca ibu mengandung boleh bersalin mudah sebelum sempat ke hospital? Macam mana ibu hamil nak tahu dia sudah kena pergi hospital untuk melahirkan bayi atau belum?

1. Ketahui sakit perut hendak bersalin

Sakit perut mahu melahirkan bayi berlaku disebabkan oleh pengecutan rahim. Ketik itu pangkal rahim mula menjadi lembut dan membuka jalan untuk kelahiran.

Kesakitan ini berlaku secara tetap. Semakin lama ia bertambah sakit dan berlangsung dengan lebih lama. Secara amnya, gunakan rule of thumb 411 iaitu sekurang-kurangnya mengalami sakit perut berjarak empat minit, berlangsung selama satu minit bagi setiap jam.

Adakalanya kesakitan ini berlangsung melebihi seminit sebanyak empat hingga enam kali sejam. Jika ia berlangsung selama dua jam, segera pergi ke mana-mana hospital atau pusat bersalin.

Sebaiknya, bila mula rasa sakit ibu hendaklah melihat jam untuk memantau berapa kerap kesakitan yang dialami. Pantau juga berapa lama selang masa bagi setiap kesakitan.

Menurut Dr Zubaidi dalam drzubaidi.com, tip ini hanya sesuai untuk ibu hamil anak pertama atau kedua sahaja. Sementara bagi wanita yang hamil anak ke-4 atau ke-5 dan seterusnya, proses kelahiran bayi berlaku sangat pantas.

2. Jangan keliru dengan sakit perut "acah-acah"

Ibu yang pertama kali hendak bersalin tentu kelam kabut bila rasa sakit perut di hujung kehamilan. Rasa sakit dialami tanpa sebab. Kadang kala hanya disebabkan ada orang menyentuh perut atau selepas anak bergerak di dalam rahim, ibu sudah merasa sakit perut.

Ini bukan sakit perut hendak melahirkan anak tetapi dinamakan Braxton Hicks contractions. Jangan risau! Sakit ini tak perlu rawatan. Biarkan sahaja. Tiada cara merawatnya kerana ia akan berakhir selepas beberapa saat. Ia akan hilang sendiri. Tak perlu mengerah atau berbuat apa. Sebaiknya bernafas dalam-dalam dan perlahan-lahan serta minum air suam. Ia membantu mengurangkan kesakitan.

Bagaimanapun ibu hamil perlu sentiasa peka tentang perubahan diri apabila semakin menghampiri saat hendak bersalin. Dengan kata lain, jika kandungan sudah masuk 36 minggu, ibu perlu lebih memantau tanda-tanda bersalin berikut supaya sempat ke hospital.

a. Perut semakin ke bawah

Ini kerana kedudukan bayi semakin masuk ke dalam tulang pelvik. Ketika ini ibu akan mudah terasa hendak membuang air kecil kerana kepala bayi menekan pundi kencing. Ruang atas perut sudah semakin kosong.

b. Laluan mula terbuka

Serviks semakin menipis dan semakin terbuka sebagai persediaan untuk melahirkan bayi. Tetapi ingat setiap wanita mengalami keadaan yang berbeza tentang bukaan laluan walaupun usia kehamilan adalah sama.

c. Kerap rasa cramp dan sakit belakang

Ia kerap berlaku terutama kepada ibu yang hamil anak kedua dan seterusnya. Otot dan semua sendi menjadi longgar dan bergerak sebagai persiapan untuk melahirkan bayi.

d. Berat badan tidak bertambah atau berkurang

Di akhir kehamilan, ibu biasanya tidak akan bertambah berat atau berkurang berat badan seperti awal atau pertengahan kehamilan. Ini kerana air ketuban semakin berkurangan serta kekerapan ibu ke tandas untuk membuang air kecil.

e. Ibu akan alami cirit birit

Oleh kerana otot dan otot pada rektum dalam keadaan relaks ini menyebabkan aktiviti pada usus besar menjadi longgar dan akan cirit birit. Banyakkan minum air untuk kekal hidrat.

f. Cepat letih

Bila perut semakin membesar, badan semakin lesu tak bermaya dan cepat menjadi letih. Biasanya malam pun ibu sukar tidur kerana kerap bangun buang air kecil.

Jadi, kepada ibu-ibu muda yang menghitung hari untuk melahirkan anak, jangan lupa untuk sentiasa mengawasi tanda-tanda awal bersalin supaya sempat ke hospital melahirkan bayi.