Berdebar kan menunggu kelahiran bayi? Sebelum itu, eloklah sekiranya mama dan papa mengetahui tentang peringkat dan fasa semasa proses bersalin. Pengetahuan dan ilmu boleh mengelakkan panik. Sekurang-kurangnya boleh bersedia mental dan fizikal.

Menurut Dr Siti Esah Bahari, Pakar Perbidanan & Sakit Puan, KPJ Selangor Specialist, proses kelahiran terbahagi kepada tiga peringkat berbeza  dan fasa iaitu pasif dan aktif. Peringkat-peringkat ini menunjukkan masa yang diambil, kontraksi dan proses pembukaan serviks untuk kelahiran.

 

PERINGKAT PERTAMA

FASA PASIF

  1. Serviks mula menipis (efface) dan membuka (dilate) dengan perlahan sehingga 3sm.
  2. Mengambil masa selama 12 jam daripada permulaan serviks terbuka hingga 3sm.
  3. Proses bukaan berlaku perlahan dan boleh mengambil masa sehingga 12 jam bagi ibu kali pertama.
  4. Kebanyakannya tidak perlu masuk wad sebaliknya berehat di rumah.
  5. Bakal ibu boleh menggunakan teknik pernafasan yang dipelajari di kelas antenatal untuk melegakan kesakitan.
  6. Namun sekiranya tidak yakin untuk berehat di rumah kerana tiada pengalaman bersalin sebelum ini, pesakit boleh diwadkan untuk dipantau di hospital.

 

FASA AKTIF

  1. Serviks akan menipis dengan lebih cepat, kontraksi lebih panjang, kuat dan rapat.
  2. Berlaku apabila bukaan serviks mencecah 3sm hingga 10sm.
  3. Proses ini berlaku lebih cepat bergantung pada ketebalan serviks ibu.
  4. Kontraksi akan lebih tegang dan kerap.
  5. Kontraksi menyebabkan ketuban pecah dan atau keluar darah.
  6. Pada fasa ini, ubat penahan sakit boleh diambil atas nasihat doktor pakar.
  7. Pesakit ditahan di wad dan pesakit boleh meminta ubat penahan sakit.
  8. Bukaan serviks akan diperiksa daripada masa ke semasa.
  9. Ujian CTG akan dilakukan untuk memeriksa jantung bayi, gerakannya dan ketegangan kontraksi ibu.

 

PERINGKAT KEDUA

  1. Ia bermula apabila servis terbuka sepenuhnya (10sm) sehingga kelahiran bayi.
  2. Selalunya pada masa ini ibu akan berasa seperti mahu membuang air besar. Ibu boleh mula meneran dan akan diajar cara meneran. Bagi anak pertama proses akan mengambil masa kira-kira satu jam manakala anak kedua dan seterusnya lebih kurang 30 minit.
  3. Sekiranya selepas satu jam anda masih tidak dapat melahirkan atau sekiranya rentak jantung bayi menunjukkan ritma yang tidak normal, alat bantuan kelahiran seperti vakum dan forseps akan digunakan. Percubaan sebanyak tiga hingga empat kali akan dilakukan. Sekiranya gagal, pembedahan caesarean akan dilakukan.

 

PERINGKAT KETIGA

Peringkat ini merupakan proses pengeluaran uri. Antara proses yang akan dilakukan pada peringkat ini ialah;

  1. Doktor atau jururawat akan menyuntik ubat sintometrine pada punggung ibu selepas bahu bayi berjaya dikeluarkan atau selepas bayi keluar sepenuhnya.
  2. Suntikan ini akan mengecutkan rahim dan pengeluaran uri akan dibantu dengan teknik control cord traction.
  3. Doktor akan memeriksa uri yang keluar tersebut sempurna bentuknya dan tidak ada rongga yang menunjukkan masih ada uri yang terlekat di dalam rahim.
  4. Andainya uri masih belum keluar, ia akan dikeluarkan di mana ibu di bawah bius. Masalah uri melekat ini kerap terjadi bagi ibu yang mempunyai sejarah pembedahan caesarean, proses dilation & curettage (D&C), mempunyai anak ramai atau mengalami kes uri melekat ketika bersalin anak sebelum ini.