Dulu masa zaman mak dan nenek kita, jarang sekali dengar ibu mengandung bersalin secara pembedahan caesarean. Tapi sekarang, ramai ibu mengandung yang bersalin secara pembedahan disebabkan oleh banyak faktor. Bila seseorang wanita bersalin secara pembedahan maka ramailah yang bagitahu dia ada had berapa kali boleh melahirkan lagi anak secara pembedahan.

Tetapi sebenarnya berapa banyak kali ibu mengandung boleh melahirkan anak secara pembedahan? Sains tidak mempunyai jawapan jelas tentang hal ini, walaupun secara amnya mengikut fakta perubatan, semakin banyak kali wanita bersalin secara pembedahan, semakin tinggi risiko yang boleh dia dapat.

"Secara tipikal, satu atau dua kali ceasarean tidak mempunyai sebarang risiko nyata kepada ibu atau bayi," menurut Dr. Marra Francis. "Sebaik wanita mula melahirkan anak secara caesarean sebanyak tiga kali atau lebih, akan ada risiko komplikasi yang nyata."

Menurut Mayo Health Clinic, kajian menunjukkan selepas pembedahan caesarean kali ketiga, risiko ibu akan meningkat tetapi tiada bukti terdapat caesarean yang 'selamat'.

Apakah risiko bila banyak kali bersalin secara pembedahan caesarean?

1. Parut pada tisu organ dan rahim

Anda akan mendapat parut setiap kali selepas menjalani pemebdahan bahagian perut, dan penambahan parut akan menjadikan pembedahan caesarean akan datang semakin sukar.

2. Masalah uri

Kadang-kala dengan beberapa kali pembedahan caesarean, uri anda akan mula menjadi pelik. Ia boleh tertanam (implant) terlalu banyak ke dalam dinding rahim malahan meliputi bukaan serviks.

3. Kecederaan pada pundi kencing atau usus

Walaupun ia bukan masalah biasa, tetapi ia boleh berlaku pada ibu yang berulang-kali melahirkan anak secara pembedahan.

4. Pendarahan banyak

Kekerapan bersalin secara pembedahan menyebabkan ibu berisiko mengalami pendarahan banyak dan meningkatkan risiko histerektomi (satu prosedur pembedahan untuk membuang rahim sama ada sepenuhnya atau sebahagian). Pendarahan banyak boleh berlaku apabila anda menjalani pembedahan caesarean, sama seperti risiko-risiko lain dan akan meningkat bila semakin kerap anda bersalin secara pembedahan.

Oleh itu sebaiknya jika anda boleh bersalin secara normal, tak perlulah anda saja-saja hendak pilih bersalin secara pembedahan atas alasan tak mahu merasai kesakitan kontraksi. Tetapi jika anda perlu melahirkan anak secara pembedahan atas nasihat doktor kerana faktor-faktor masalah kesihatan maka ikut sahaja saranan doktor. Tetapi jangan lupa juga untuk mematuhi nasihat doktor supaya menjarakkan kehamilan seterusnya kerana bimbang jika terpaksa juga melahirkan anak selepas itu dengan pembedahan caesaran maka semakin meningkatlah risiko anda.

Jangan takut untuk melahirkan bayi secara pembedahan caesarean kerana ia jauh lebih selamat berbanding zaman tok nenek kita dahulu. Tetapi anda kena tahu, sebaik sahaja anda mempunyai sekali pengalaman bersalin secara pembedahan ia lebih berisiko untuk mempunyai satu kelahiran normal. Walaupun tiada had berapa kali badan anda boleh kendalikan kelahiran caesarean, risikonya terus meningkat jika sudah tiga kali bersalin.

Sumber: familyshare