Perut memulas berulang kali dan terasa seperti mahu membuang air besar!  Pinggang pula terasa seperti hendak patah dan perut pula bagaikan mahu pecah! Argghhh, air apa yang mengalir ni? Aduh, kenapa ada lendir dan darah ni? Mama jangan panik bila berdepan situasi di atas! Itu adalah antara signal waktu anda untuk bersalin telah pun tiba. Namun bukan itu sahaja mama perlu tahu tanda-tanda berikut juga mungkin salah satu signal bakal anda alami.

 

1. Bloody show

Lazimnya akan berlaku pengeluaran dalam bentuk lendir ataupun darah di faraj. Pengeluaran lendir bercampur darah menjelaskan bahawa ruang serviks  anda telah terbuka. Situasi inilah  yang menyebabkan lendir tadi bercampur dengan darah.

 

2. Kontraksi

Kontraksi adalah tanda awal anda hampir bersalin. Biasanya perut anda akan menegang setiap 10 minit. Paling kerap ialah pada kadar 20 saat bagi setiap kontraksi. Kontraksi yang sebenar berlaku secara teratur dan jarak yang konsisten. Jika kontraksi konsisten, segera ke hospital untuk mendapatkan pemantauan doktor. Tetapi kontraksi bukan petanda bersalin ialah anda mengalami kontraksi pada kadar 10 minit, kemudian 45 minit, selanjutnya lima minit dan akan hilang dengan sendirinya tidak lama kemudiannya.

 

3. Air ketuban pecah

Jarang berlaku kepada wanita  yang hampir bersalin mengalami pecah ketuban, sebaliknya memerlukan bantuan doktor untuk memecahkan ketuban untuk mempercepatkan proses bersalin. Namun jika pecah ketuban berlaku biasanya akan keluar air jernih dan tidak berwarna. Namun, jika air itu berwarna hijau, itu menandakan bayi sudah pun membuang air besar ketika masih berada dalam kandungan. Jika mengalami tanda seperti ini, segera ke hospital untuk pemeriksaan lanjut kerana bayi mungkin mengalami jangkitan kuman.

 

4.Sakit belakang

Anda mengalami sakit belakang yang semakin teruk dan kerap. Ini kerana bayi mula beralih dan menekan tulang belakang anda. Sakit akan semakin kerap dan rasa kuat pada bahagian bawah belakang.

 

5.Perut memulas

Anda bukan sakit perut jika berasa perut memulas! Oleh sebab bayi sudah mula bergerak ke saluran peranakan, akan berlaku tekanan kepada saluran terutamanya saluran untuk membuang air besar. Ketika ini anda akan berasa seperti mahu ke tandas ingin membuang air besar. Anda dinasihatkan berhati-hati untuk mengelak kejadian tidak diingini seperti bersalin dalam tandas.

 

6.Perut terasa ringan

Ketika perut anda seakan "turun". Perut anda akan kelihatan membuncit pada bahagian bawah,manakala bahagian atas terasa ringan atau kosong. Ini adalah petanda bayi sudah mula turun ke bawah dan memasuki saluran peranakan. Hal ini biasanya berlaku di sekitar dua minggu sebelum kelahiran.

 

7.Kerap membuang air kecil

Bayangkan setiap 10 minit anda akan pergi ke tandas. Ketika ini anda agak keletihan disebabkan sering berulang alik ke tandas. Keadaan ini berlaku, apabila bayi sudah bergerak ke bawah, yang akan memberi tekanan pada pundi kencing. Situasi ini akan membuatkan anda kerap membuang air kecil.