Ramai ibu mengelakkan menu sayur kerana bimbang akan bentan! Memanglah perlu elak sayur, tapi yang  bersifat sejuk dan berangin sahaja. Air pun sampai bersukat, ini cara pantang yang tidak sihat untuk diamalkan. Jangan lupa anda juga perlukan zat dan nutrien daripada sayur-sayuran untuk pemulihan diri dan dalaman dan penghasilan susu ibu yang berkualiti!               

 

SAYUR-SAYURAN PENAMBAH SUSU

Sayur-sayuran menjalar, sejuk dan berangin memang tidak disarankan kerana boleh menyebabkan bentan. Tapi ada banyak lagi sayur-sayuran lain yang boleh dimakan.  Bolehlah tukar-tukar menu sayur kalau jemu! Antara sayur-sayuran yang boleh dimakan semasa berpantang dan menambah susu ialah seperti  berikut;

  • Pegaga
  • Sawi
  • Brokoli
  • Daun cekur dan cekur manis
  • Ulam raja
  • Halia
  • Daun lemuni
  • Lobak putih

 

HERBA PENAMBAH SUSU

Herba juga boleh dimakan dan menggalakkan penghasilan susu ibu. Ambil dalam kuantiti sederhana, berpada-pada untuk mengelakkan cirit-birit pada ibu dan bayi. Jika tidak mampu makan mentah, bolehlah masukkan dalam masakan!

  • Habbatus sauda
  • Halba
  • Jintan putih dan jintan manis
  • Bunga lawang
  • Pelaga
  • Cengkih
  • Bunga lawang
  • Lada putih dan hitam

 

RESIPI SUP LOBAK PUTIH

Bahan-bahannya

  • 1 batang lobak putih bersaiz kecil (cuci dan potong)
  • 1 ulas bawang merah kecil (hiris)
  • 2 ulas bawang putih (hiris)
  • ½ sudu lada hitam (ditumbuk)
  • 300ml air
  • Garam dan gula secukupnya

Cara penyediaan

  1. Masukkan air, bawang putih, bawang merah dan lada hitam ke dalam periuk. Masak hingga mendidih.
  2. Kemudian masukkan lobak.
  3. Masukkan garam dan gula. Masak hingga lobak empuk.
  4. Bolehlah diangkat dan dihidangkan panas-panas dengan nasi panas.

*Lobak putih memang akan menambah susu badan, tapi menurut bidan elakkannya dalam tempoh 44 hari pertama kerana ia boleh menyebabkan rahim kembang, sejuk pada urat dan saluran bersalin sukar mengecut.