Bagi anda yang sedang hamil dan disahkan mengalami gestational diabetes melitus (GDM) atau diabetes gestasi, mustahak bagi anda untuk mengawal kadar gula dalam darah untuk memastikan diri dan janin boleh berkembang dengan baik tanpa sebarang komplikasi. Berikut ialah kesan GDM kepada ibu dan anak dalam kandungan jika tidak dikawal.

Kesan GDM kepada ibu

  • Boleh menyebabkan hiperglisemia iaitu kadar gula yang berlebihan
  • Hipoglisemia iaitu gula yang sangat rendah dalam darah.
  • Jangkitan kuman pada faraj seperti keputihan dan gatal-gatal
  • Risiko keguguran
  • Polihydraminios atau air ketuban berlebihan
  • Preeklampsia atau hipertensi teruk
  • Retinopati atau kerosakan retina pada mata
  • Kegagalan fungsi buah pinggang
  • Memerlukan proses kelahiran yang melibatkan pembedahan caesarean kerana bayi mungkin besar.


Kesan GDM kepada anak

  • Dilahirkan dengan berat badan yang berlebihan atau makrosomia
  • Mati dalam kandungan atau intra uterine death.
  • Hipoglisemia iaitu gula yang sangat rendah dalam darah.
  • Lemas semasa lahir hingga boleh menyebabkan kerosakan pada otak.
  • Kecederaan pada saraf di bahagian bahu atau shoulder dystocia.
     

Justeru, bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini, ibu perlu mengawal kadar gula dalam darah Ikuti tip penjagaan diri dan pemakanan ini.

PEMANTAUAN

  1. Sentiasa memantau paras gula di dalam darah.
  2. Pemeriksaan imbasan ultra bunyi semasa antenatal adalah berguna untuk mengawasi saiz bayi dan mengesan polihidramnios (air ketuban banyak) serta keabnormalan bayi.
  3. Kurangkan pengambilan gula yang biasanya terdapat pada minuman dan makanan manis.
  4. Atur pola makan sesuai keperluan kalori anda kerana jika kalori kurang, anda berisiko untuk mendapat hipoglisemia (kadar gula darah turun drastik ditandai lemas, berpeluh dan pengsan).
  5. Doktor akan terus memantau kadar gula darah. Jika turun,  teruskan diet. Jika tidak turun atau malah naik, diet perlu disertai langkah yang lebih berkesan berikutnya.
  6. Melakukan rutin pemeriksaan empat kali sehari.
  7. Suntik insulin bagi kes yang paras gula sukar dikawal kerana semasa hamil anda tidak boleh makan ubat-ubatan untuk merangsang penghasilan insulin dan diganti dengan suntikan insulin dengan dos yang ditentukan oleh doktor.
  8. Rancang senaman ringan seperti berjalan kaki atau berenang. Pastikan ia  tidak terlalu berat bagi ibu hamil. Senaman ringan boleh membantu mengawal kadar gula dalam darah.

CADANGAN DIET

  1. Ambil karbohidrat kompleks iaitu bijirin, kekacang, pis, sayur-sayuran, dan makanan berkanji dalam kadar yang sederhana.
  2. Ambil makanan yang kaya serat buah-buahan, sayur-sayuran, legum, roti gandum tulen, dan lain-lain.
  3. Pastikan diet yang rendah lemak. Elakkan lemak tepu (mentega, daging berlemak, krim dan lain-lain). Pilihlah daging dan ayam tanpa kulit.
  4. Elakkan makanan yang digoreng
  5. Makan buah-buahan yang tidak manis (rendah indeks glisemik) seperti jambu batu, avokado, limau, bluberi dan pir.
  6. Hindari buah-buahan kering atau buah-buahan dalam tin yang ditambah gula di dalamnya.
  7. Makanan yang mengandungi kandungan glisemik rendah.
  8. Sayur-sayuran berdaun hijau amat sesuai dimakan.
     

Anda perlulah KUAT kerana  gula boleh membawa kepada ‘ketagihan’. Apabila kita cuba mengurangkan kadar gula yang diambil, kadangkala kita merasa lemah, mengantuk, marah, beremosi dan lain-lain. Ia memerlukan kekuatan mental untuk melakukannya!