Lazimnya bagi ibu yang bersalin secara pembedahan caesarean, doktor akan menyarankan waktu selamat untuk hamil semula ialah selepas dua tahun dan ada yang kata setahun. Tapi bagaimana kalau anda hamil lagi sebelum waktu itu....?

MINIMUM ENAM BULAN

Menurut Dr Norintan Zainal Shah, Pakar Perbidanan & Sakit Puan, Hospital Columbia Asia Seremban, ibu tidak perlu panik kerana terdapat kajian yang menunjukkan jarak minimum untuk hamil selepas kelahiran adalah enam bulan sahaja. Sebagai contoh, sekiranya ibu hamil setelah anak pertama berusia sepuluh bulan, risiko dinding rahim terkoyak adalah amat rendah.

 

RISIKO DINDING RAHIM TERKOYAK

Masalah dinding rahim terkoyak ini dinamakan sebagai uterine rupture selalunya berlaku sewaktu kontraksi ketika hendak bersalin. Ia dilaporkan berlaku kurang dari 1% bagi ibu yang mempunyai satu pembedahan caesarean sebelumnya. Percubaan untuk bersalin secara normal selepas adanya pembedahan caesarean dikenali sebagai TOS atau (Trial of Scar). Bersalin secara normal melalui faraj selepas adanya pembedahan caesarean dikenali pula sebagai VBAC (Vaginal Birth After Caesarean Section).

 

MASIH BERPELUANG BERSALIN NORMAL

Jika seseorang wanita ingin melalui pembedahan caesarean bagi kandungan kedua, ini dikenali sebagai Elective Repeat Cesaerean Section ( ERCS). Bagi pesakit yang pernah mengalami pembedahan caesarean dan inginkan VBAC bagi kandungan keduanya, doktor hendaklah memberitahu bahawa VBAC lebih selamat daripada ERCS. Ini bererti, pesakit yang berjaya melalui TOS tanpa berlakunya dinding rahim terkoyak dan bersalin melalui VBAC, mereka tidak banyak mengalami masalah. Jika ada 10 orang wanita yang melalui TOS, lapan daripadanya akan berjaya bersalin secara normal.

Amat penting bagi ibu untuk memahami bahawa dinding rahim terkoyak berisiko kepada wanita yang melalui proses TOS. Walau pun ibu terbabit dipantau di hospital yang mempunyai perkhidmatan doktor pakar perbidanan dan pakar bius, serta perkhidmatan tabung darah, hal ini boleh berlaku!

 

KESAN DINDING RAHIM TERKOYAK

  • Tumpah darah dari rahim ibu sehingga memerlukan transfusi darah.
  • Ibu melahirkan bayi secara emergency caesarean section.
  • Anak yang dilahirkan boleh mengalami masalah kekurangan darah dan oksigen sehingga boleh menyebabkan kecacatan otak dan maut.
  • Rahim yang mengalami koyak kadang kala tidak dapat diselamatkan dan perlu dibuang.
  • Kesan sampingan bius penuh ketika menjalankan caesarean secara kecemasan juga tinggi. Doktor bius akan memberi penerangan sebelum ibudibedah.
  • Kehilangan darah yang banyak boleh menyebabkan masalah DIVC (Disseminated Intravascular Coagulation) di mana darah terus menerus mengalir keluar dari badan kerana darah tidak dapat membeku.  Keadaan ini boleh menyebabkan maut.

Dr Norintan menasihatkan agar ibu yang hamil semula dalam jarak kurang dari enam bulan merujuk kepada pakar sakit puan & perbidanan supaya rekod pembedahan yang pertama boleh diperiksa atau disemak sebelum puan boleh melalui TOS. Risiko dinding rahim terkoyak amat tinggi ( jika ia berlaku).