Sedang merancang untuk hamil lagi? Bagaimana dengan jarak dengan kelahiran lalu dan tahap kesihatan anda?  Tidak salah untuk hamil lagi dan lagi tapi mama jangan lupa mengabaikan kesihatan diri.

Wanita yang kerap hamil dengan jarak yang terlalu dekat mempunyai risiko tinggi untuk menghadapi masalah-masalah seperti kelahiran pra-matang, bayi terlalu kecil ataupun bayi meninggal ketika dilahirkan. Jarak kehamilan yang terlalu dekat menyebabkan ibu kurang mempunyai waktu mencukupi untuk memulihkan keadaan rahimnya. Ada lima risiko hamil rapat yang mungkin boleh terjadi kepada ibu.

Anemia
Proses melahirkan mengakibatkan kehilangan banyak darah.  Bagi kelahiran secara normal tanpa sebarang komplikasi sudah pun menyebabkan kehilangan darah antara 200 hingga 400ml.  Ditambah pula darah nifas yang keluar selepas proses kelahiran.  Maka waktu berpantang antara 44 dan 100 hari yang biasa diamalkan kebanyakan ibu perlu dimanfaatkan sebaiknya untuk mengembalikan paras hemoglobin darah seperti biasa. Ini akan menyebabkan keadaan Hb rendah.

Rahim jatuh
Istilah yang biasa digunakan adalah prolapsed uterus.  Keadaan ini boleh mengganggu organ lain seperti pundi kencing, usus besar dan faraj.  Biasanya, rahim jatuh dikaitkan dengan bilangan kelahiran.  Semakin banyak bilangan kelahiran, semakin meningkat risiko seorang ibu untuk menghadapi keadaan ini.  

Kematian Ibu
Kehilangan banyak darah yang dialami seorang ibu ketika bersalin boleh menyebabkan hal ini berlaku.  Sering ia dikaitkan dengan ibu yang melahirkan lebih daripada lima orang anak.

Menjejaskan Tulang
Bayi dalam kandungan memerlukan kalsium yang banyak untuk proses tumbesarannya.  Kalsium untuk bayi ini didapati daripada ibu dan kuantiti yang diambil oleh seorang ibu perlu dikongsi bersama.  Ia secara tidak langsung menunjukkan bahawa hamil memerlukan kalsium yang tinggi berbanding biasa.  Begitu juga selepas melahirkan memerlukan kalsium yang tinggi untuk disalurkan kepada bayi melalui susu ibu.  

Ketidakseimbangan Hormon
Jarak kehamilan yang dekat akan turut menyebabkan ketidakseimbangan kandungan hormon estrogen di dalam tubuh.  Ketidakseimbangan hormon pada ibu secara tidak langsung akan mengganggu penyerapan kalsium ke dalam tulang.  Estrogen penting untuk penyerapan kalsium.  Gangguan pada hormon ini akan mengganggu struktur tulang.