"Baiknya anak Nelly tu. Tak banyak ragam pun, kurang menangis. Senang dia nak jaga."

"Eh, ko ingat tak masa ngandung dulu, Nelly pun selalu happy. Asyik ketawa je. Tak pernah nampak muka dia stres ke, sedih ke. Mungkin sebab tu kot baby dia tak banyak ragam."

Sebenarnya memang ada fakta mengatakan ibu yang gembira dan selalu ketawa semasa mengandung akan melahirkan bayi yang juga ceria dan gembira! Berikut beberapa fakta benar tentang pentingnya ibu hamil untuk sentiasa gembira dan ceria.

1. Paras hormon kortisol yang tinggi (hormon stres yang bertanggungjawab untuk tindakbalas dalam badan) ketika mengandung ada kaitan dengan bayi yang kuat menangis dan kurang tidur selepas dilahirkan.

2. Stres kronik ketika hamil juga ada kaitan dengan risiko kelahiran bayi dengan berat badan yang rendah. Kepada ibu hamil, sila beri perhatian kepada emosi diri sendiri. Begitu juga dengan orang yang paling rapat iaitu suami.

3. Satu kajian yang dilakukan oleh Pennsyvlania State College of Medicine mendapati ibu yang bahagia dan mendapatkan banyak sokongan dari orang terdekat akan menurunkan risiko kolik berlaku pada bayi baru lahirnya.

4. Emosi positif ibu mempengaruhi keadaan bayi yang dilahirkan. Emosi positif boleh berlaku sekiranya ibu banyak tersenyum dan ketawa. Jadi ibu mesti selalu berdamping dengan orang-orang yang positif dan ceria serta boleh membuatkan ibu merasa bahagia dan gembira sentiasa.

5. Kajian menunjukkan ibu yang merasa bahagia setelah melahirkan bayi mempunyai bayi yang menangis kurang dari tiga jam dalam sehari.

Maka diharap para ibu hamil akan lebih mengawal emosi diri. Walaupun sedang dilanda kesedihan atau stres anda masih mampu memberikan senyuman demi anak yang dikandung. Tak ketinggalan kepada para ayah supaya lebih prihatin terhadap perubahan emosi isteri hamil dan sentiasa memberi sokongan kepada mereka.