1. Banyakkan berehat

Selepas melahirkan anak, anda perlulah banyak berehat. Jangan terlalu aktif seperti membuat kerja rumah terutamanya mengangkat barang-barang yang berat. Ada baiknya minta bantuan orang lain seperti suami, ibu, ibu mertua atau ahli keluarga lain yang menjaga anda semasa tempoh berpantang.

2. Elakkan jangkitan kuman

Semasa dalam tempoh berpantang, tubuh anda mudah dijangkiti kuman di bahagian peranakan, rahim dan/atau saluran kencing, memandangkan anda masih mengeluarkan darah nifas. Oleh sebab itulah anda sangat digalakkan untuk mencuci bahagian intim dengan sebaik-baiknya dengan menggunakan air suam yang bersih.

3. Jaga pemakanan

Amalan pemakanan yang baik semasa berpantang boleh membantu anda mengelakkan diri daripada mengalami bentan. Jadi, ikutilah pesanan orang tua-tua yang kerap kali menasihati wanita berpantang untuk menghindari jenis-jenis makanan tertentu. Antara makanan yang bersifat sejuk dan perlu dielakkan ialah seperti kangkung, kacang panjang, labu air, kubis, terung, nangka muda dan yang seumpama dengannya.