Kekejangan otot kaki menyakitkan. Hanya orang yang pernah melalui akan tahu betapa sakit rasanya. Ditambah pula dalam keadaan perut yang semakin membesar, ibu tentunya sukar untuk meluruskan kaki menghilangkan rasa kejang.

Kekejangan pada betis sering kali terjadi pada ibu hamil. Keadaan ini dikenali sebagai tarik mengkarung atau simpul biawak dalam masyarakat Melayu. Setiap kali kekejangan berlaku, mama tentu berasa. Mengapa ini berlaku dan apakah ada solusi untuk mengelakkannya berlaku lagi?

Menurut Dr Nurhazinat Yunus, pakar perbidanan dan sakit puan, Tropicana Medical Centre, otot kaki menampung berat badan yang berlebihan semasa mengandung. Rahim yang membesar juga memberi tekanan kepada pengaliran darah dari vena utama kaki naik ke atas. Hal ini berlaku bersama dengan kesan hormon progesteron iaitu antara hormon utama yang terhasil semasa hamil. Kehadiran hormon progesteron memberi kesan kepada ketahanan atau kekuatan otot kaki semasa hamil.

PUNCA KEJANG
Kekejangan betis semasa hamil adalah disebabkan oleh beberapa faktor yang disebabkan oleh pemakanan dan beberapa faktor lain. Mama perlu peka faktor yang mungkin menjadi puncanya.

  1. Keletihan otot betis
  2. Tekanan pada urat saraf bahagian kaki
  3. Peredaran darah yang tidak lancar, atau
  4. Ketidakseimbangan garam galian atau mineral di dalam badan sama ada terlalu sedikit kalsium atau magnesium atau terlalu banyak fosforus. Namun data yang menyokong pendapat kekurangan mineral menyebabkan keadaan ini terhad.  


KEJANG WAKTU MENYERANG MALAM
Menurut pendapat kebanyakan ibu hamil, kekejangan pada betis kerap kali berlaku pada waktu malam. Kata Dr Nurhazinat, kekejangan betis selalu berlaku pada waktu malam disebabkan suhu persekitaran yang lebih sejuk, keadaan fizikal yang tidak aktif semasa tidur atau pun pergerakan secara tiba-tiba seperti mengeliat selepas rehat yang panjang. Maka tidak hairanlah kekejangan kerap kali berlaku di waktu malam atau ketika anda sedang berehat.

  1. Apabila berlaku kekejangan betis, anda perlu meregangkan otot tersebut. Luruskan kaki, perlahan-lahan bengkokkan (flex) bahagian buku lali kaki dan jari-jari kaki ke arah anda.
  2. Pastikan sendi lutut anda lurus. Sekiranya anda bersendirian, anda boleh membongkokkan badan anda, capai jejari atau ibu jari kaki, dan tarik jari tersebut ke arah anda dengan sendi lutut pada keadaan lurus.
  3. Sekiranya anda bersama pasangan, anda boleh meminta pasangan anda untuk perlahan-lahan menolak jejari kaki tersebut ke arah anda. Apabila anda melakukan perkara ini, anda akan merasa kesakitan terlebih dahulu, sebelum ianya beransur-ansur hilang.
  4.  Anda juga boleh mengurangkan kekejangan tersebut dengan mengurut bahagian otot betis perlahan-lahan. Sekiranya masih tidak berjaya, bangun dari katil dan lakukan aktiviti berjalan selama beberapa minit.


CARA ELAK KEJANG BETIS
Ada cara untuk mencegahnya daripada terus berlaku walaupun sebab sebenar yang menjadi punca kekejangan otot kaki masih lagi tidak jelas. Mama boleh mengambil beberapa langkah untuk mencegahnya pada masa akan datang.

MEREGANGKAN OTOT BETIS.
Lakukan aktiviti regangan sebelum tidur boleh membantu mengelakkan kejadian kejang betis semasa hamil. Berdiri sejauh panjang lengan anda dari dinding, letakkan tapak tangan anda pada dinding tersebut dan gerakkan kaki kanan ke belakang kaki kiri. Perlahan-lahan, bengkokkan kaki kiri ke hadapan, pastikan kaki kanan anda kekal lurus atau tegak dan tapak kaki kanan tidak berganjak/bergerak dari lantai tersebut. Tahan regangan tersebut selama 30 minit, hati-hati untuk mengekalkan belakang anda lurus dan paha anda ke hadapan. Kemudian, tukar kaki, dan ulang regangan yang sama. Lakukan regangan ini selama 5-10 minit.

KEKAL AKTIF
Lakukan senaman atau aktiviti fizikal setiap hari dapat mengurangkan berlakunya kekejangan ini. Mama perlu mengelakkan dari berdiri terlalu lama atau duduk dengan posisi kaki bersilang.

VITAMIN DAN MINERAL TAMBAHAN
Ambil vitamin dan mineral tambahan seperti vitamin C, magnesium, potassium dan kalsium. Mama juga boleh mengambil makanan yang kaya dengan magnesium seperti bijirin, kekacang dan buah-buahan kering. Pengambilan pisang disyorkan setiap hari kerana pisang kaya dengan potassium yang membantu mengurangkan kekejangan otot. Anda juga digalakkan meminum susu atau mengambil pil kalsium untuk mendapatkan kalsium yang mencukupi semasa hamil.

AIR YANG MENCUKUPI
Minum air yang mencukupi dan memastikan diri sentiasa terhidrat akan membantu mengelakkan kejang otot. Peka akan warna air kencing untuk melihat Air kencing yang berwarna kuning pekat biasanya menandakan anda tidak mengambil air yang mencukupi.

Tahukah anda?
Pemilihan kasut yang bersesuaian dapat mengelakkan kekejangan pada kaki semasa hamil. Pilih kasut atau sandal yang selesa dan menyokong berat dan postur badan anda. Pemakaian kasut bertumit tinggi semasa hamil tidak digalakkan dan boleh mengakibatkan kekejangan pada otot betis.