Ramai ibu yang mengalami alahan iaitu muntah yang sangat teruk sehingga hilang selera makan. Adakah ia boleh mengganggu perkembangan bayi dalam kandungan? Bagaimana cara untuk saya memastikan bayi dalam kandungan dapat membesar dengan sihat?

Menurut Dr Norintan Zainal Abidin Shah, Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Columbia Asia Seremban, apabila hamil, dianggarkan kira-kira 80% daripada wanita mengalami masalah loya dan muntah.

Sebilangan kecil daripada wanita hamil tidak dapat minum air atau apa-apa jenis minuman dan akan muntah sebaik sahaja cuba untuk minum.  Mereka akan mengalami keletihan, tidak berselera untuk makan dan lesu seluruh badan. Masalah ini dikenali sebagai hyperemesis gravidarum. Kajian juga mendapati hyperemesis lebih banyak berlaku di kalangan wanita yang berusia 30 tahun ke bawah.

 

5 SEBAB HYPEREMESIS GRAVIDARUM PERLU MENDAPATKAN RAWATAN

Mereka yang mengalami masalah hyperemesis gravidarum memerlukan rawatan di hospital bagi:

  1. Merawat masalah dehidrasi dengan menggunakan intra-venous drip.
  2. Menerima ubat untuk menahan muntah.
  3. Berehat sepenuhnya.
  4. Penyiasatan makmal bagi memastikan tiada masalah penyakit tiroid dan sebagainya (masalah sebegini juga boleh menyebabkan masalah loya dan muntah yang teruk).
  5. Penyiasatan ultrasound juga perlu untuk memastikan janin sihat (dalam masa yang sama memastikan jumlah janin yang dikandungi kerana kandungan kembar dikaitkan dengan masalah loya dan muntah yang teruk juga).

 

Hyperemesis gravidarum dikatakan berlaku akibat tahap hormon beta HCG yang meningkat di trimester pertama kehamilan. Tahap hormon ini mula menurun selepas 12 minggu. Oleh itu, ramai wanita hamil lebih selesa ( morning sickness terhenti) selepas kandungan berusia 12 minggu ke atas.

Adalah dianggarkan 2% daripada wanita hamil mengalami masalah hyperemesis ini. Apabila dimasukkan ke hospital, rawatan mengatasi masalah dehidrasi dan electrolyte imbalance dilakukan. Jika mengalami masalah tiroid atau hati pada masa yang sama, rawatan akan dilakukan serentak.

 

KESAN JIKA TIDAK DIRAWAT

Jika tidak dirawat, masalah muntah yang berterusan boleh menyebabkan muntah darah (akibat luka di saluran esofagus), masalah kekurangan vitamin B1 dan masalah psikologi.

Jika kesemua masalah ini dipantau, janin yang dikandungi TIDAK akan mengalami apa-apa masalah. Jika mengalami masalah loya, muntah dan sakit perut dan/atau demam, ini bererti anda mungkin mengalami masalah-masalah lain seperti appendicitis, pancreatitis dan jangkitan kuman dalam air kencing.

Oleh itu, secara amnya, masalah loya dan muntah adalah gejala yang sering menyerang wanita hamil. Namun, bagi kes ini di mana loya dan muntah menyebabkan hilang terus selera makan, anda memerlukan pemeriksaan di hospital yang berdekatan. Ini bagi memastikan anda tidak tergolong dalam kumpulan wanita yang mengalami hyperemesis gravidarum.