Soalan:

Saya mengandung lapan bulan. Apa yang merisaukan ialah saya kerap minum minuman berkafein. Bagaimana cara untuk saya mengawal keinginan terhadap minuman berkafein yang menjadi amalan sejak sebelum mengandung?

 

Jawapan:

Menurut kajian klinikal yang diterbitkan melalui American Journal of Obstetrics and Gynecology, had pengambilan kafein tidak boleh melebihi 200mg sehari. Bagi wanita yang sedang hamil dan mengambil kafein melebihi had yang ditetapkan, risiko komplikasi semasa dan selepas kehamilan mungkin timbul.

Kafein menyebabkan penyempitan salur darah dan akan mengakibatkan aliran darah ke plasenta berkurangan. Ini secara tidak langsung akan mengganggu pertumbuhan dan perkembangan bayi. Oleh kerana kafein boleh memasuki plasenta dengan mudah, bayi akan terdedah kepada kesan buruk kafein.

Kajian klinikal mendapati antara masalah yang mungkin dihadapi oleh bayi ialah kurang berat, kecacatan fizikal, kematian dan sukar tidur selepas dilahirkan. Selain itu, kafein adalah perangsang dan boleh meningkatkan denyut jantung dan tekanan darah ibu hamil. Ia boleh mengakibatkan masalah insomnia dan pedih ulu hati kerana merangsang perembesan asid gastrik di dalam perut.

Kesan ini mungkin akan berpanjangan akibat kebolehan badan menyingkirkan kafein semakin berkurangan di akhir kandungan. Jika sukar berhenti, puan boleh mencampurkan minuman berkafein dengan minuman tidak berkafein supaya kandungan kafein di dalam setiap hidangan berkurangan. Jika gemarkan teh, puan tidak perlu merendam lama uncang teh.

Selain itu, puan boleh menggantikan minuman berkafein dengan jus buah-buahan segar kerana ia berupaya menyingkirkan kafein. Saya cadangkan puan mengambil jus yang sangat baik dan disunatkan untuk diminum semasa tempoh kehamilan iaitu jus buah delima. Menurut Rasulullah S.A.W, buah delima atau jusnya yang diambil sepanjang tempoh kehamilan mampu membentuk sistem imuniti bayi yang kuat supaya tidak mudah dijangkiti penyakit selepas dilahirkan.

Selain tu,ia mampu menguatkan sistem jantung bayi selain menaikkan seri bayi yang bakal dilahirkan. Memakan buah epal hijau sebiji sehari juga dapat memastikan bayi tidak mudah mengalami alahan selepas dilahirkan.

 

Soalan dijawab oleh Sabrian Haron, Pegawai Farmasi