Masalah ruam lampin memang perkara biasa yang sering berlaku dalam kalangan bayi. Memandangkan kulit punggung bayi dianggap sensitif, ibu disarankan untuk kerap menukar lampin. Jangan dibiarkan terlalu lama kerana ia akan menimbulkan bintik-bintik merah dibahagian kelamin bayi, kulit menjadi tebal , berkedut dan menggelupas.

Jika perkara ini berlaku bayi akan berasa tidak selesa, kerap menangis dan paling teruk apabila punggung terkena air ketika mandi bayi akan lagi kuat menangis.

Buat pengetahuan semua, ruam berlaku apabila bahan kimia yang terdapat di dalam air kencing mula dipecahkan oleh kuman. Jika  dibiarkan, ia boleh mengundang jangkitan lebih serius.

Keadaan ini berlaku kerana memakai lampin yang sudah penuh dalam jangka masa lama dan menukar lampin tanpa membersihkan kawasan alat sulit dan punggung bayi.

 Cara Merawat Ruam Lampin

1) Segera menukar lampin setiap kali bayi membuang air kecil atau air besar.

2) Bersihkan menggunakan air suam, bilas sehingga bersih dan lap menggunakan tuala lembut dan pastikan kesemua bahagian kelamin kering. Dalam tempoh anak terkena ruam lampin, sebolehnya ibu elakkan dulu penggunaan baby wipes.

3) Pilih krim yang sesuai dengan kulit bayi bagi melegakan kesakitan  yang dialami. Krim ini juga boleh digunakan sebagai pelindung kuman yang terhasil daripada air kencing bayi dan sekaligus mengelakkan ruam.

4) Sapu krim pada bahagian kelamin secara berterusan untuk mencegah jangkitan kuman walaupun masalah ruam dah makin elok. Kalau boleh biar betul-betul hilang.

5) Ibu boleh juga biarkan bayi tanpa memakai lampin sekerap yang boleh untuk mempercepatkan penyembuhan kulit dengan pengawasan anda dan suami.  Jika mahu pakai lampin, pastikan dipakai longgar agar ada ruang pengaliran udara.

6) Pilih lampin pakai buang yang sesuai dengan kulit bayi yang mempunyai daya serapan tinggi dan mengurangkan kelembapan. Sebagai alternatif boleh cuba cloth diapers yang lebih selamat.

Ibu jangan risau jika ruam lampin bayi berpunca daripada alahan tertentu, masalah itu akan hilang dengan sendirinya jika ibu menghentikan penggunaan produk yang menyebabkan ruam itu.

Elakkan menggunakan bedak kerana ia boleh menyebabkan geseran dan berlaku iritasi.

Biasanya jika berlaku ruam lampin ke atas bayi, ia akan pulih dalam masa tiga hingga empat hari. Namun, jika  berlanjutan dan semakin serius, bawalah bayi berjumpa  doktor kerana dikhuatiri menjadi jangkitan kuman lebih serius.