Sebenarnya apabila kita terlalu sangat membentak atau meninggikan suara dengan anak ia boleh mempengaruhi psikologi seseorang anak dan mereka boleh berdendam dengan ibu bapa sendiri. Diam tidak bererti dia takut sebaliknya perasaan itu akan disimpan dan seterusnya anak akan beremosi negatif.

Mana yang kita nak sama ada mahu jadi ibu bapa pendamping anak-anak atau kita berterusan bersikap memarahi dan menghukum tanpa memahami situasi mereka.

Berikut disenaraikan beberapa perkara yang boleh dijadikan panduan:

1) Bertegas tak seharusnya marah

Jika ingin menjadi ibu bapa yang tegas, tidak perlu marah dan membentak anak tetapi boleh mengingatkan mereka dengan cara lebih profesional.

2) Elak menjerit

Apabila ibu bapa terlalu kerap berteriak dengan anak, boleh menganggu psikologi anak. Perubahan ini biasanya dapat dilihat saat mereka meningkat dewasa. Mereka akan menjadi seorang yang pemarah, tekanan perasaan dan ada risiko untuk membunuh diri. 

3) Anak akan ikut sikap ibu bapa

Anak yang sering melihat ibu bapa tinggi suara tak mustahil mereka juga akan berkelakuan sama dengan adik beradik atau rakan. Jadi jangan salahkan anak jika mereka dianggap kurang ajar kerana itu semua atas kesilapan ibu bapa sendiri memberi didikan.

4) Anak kurang inisiatif

Maksudnya di sini apabila anak dibiasakan dengan marah-marah, mereka jadi kurang inisiatif untuk menonjol. Jadi apa yang mereka lakukan adalah dengan menurut sahaja. Dalam fikiran mereka jika membantah, sudah tahu apa hukumannya.

5) Boleh ganggu pendengaran

Kesan ini yang paling merisaukan. Seperti yang sedia maklum jika sejak dari kecil anak sudah terdedah dengan persekitaran yang tidak normal untuknya, kesan jangka panjang ia boleh menganggu pendengaran anak. Mungkin kita nampak biasa sahaja sedangkan lama-kelamaan boleh menjejaskan masa depan mereka.

Oleh itu, bagi ibu bapa tak salah untuk mendidik anak dengan tegas tapi biarlah berpada. Anak bukanlah robot yang boleh ikut apa yang kita mahu. Usah salahkan anak-anak jika mereka bersikap negatif.

Untuk pengetahuan ibu bapa, anak cemerlang lahir dari didikan yang sempurna dan suasana persekitaran baik tanpa sebarang tekanan yang boleh meragut jiwa anak.