Siapa tak suka makan roti sapu dengan lepa coklat yang berkrim dan lazat. Bukan anak-anak sahaja yang suka tapi mak ayah pun boleh berkeping-keping makan roti kalau sapu dengan coklat.

Tetapi kita sedia maklum harga lepa coklat sangat mahal. Bahkan bahan-bahan yang digunakan juga dikatakan kurang berkhasiat untuk kesihatan si pemakan bagi jangka masa lama terutama kanak-kanak yang sedang membesar.

Jadi apa kata mama cuba buat sendiri resipi lepa coklat yang disukai ramai ini. Lebih berkhasiat dan sedap, dan pastinya mudah dibuat sendiri. Cubalah!

Bahan-bahan:

300 gram kacang hazel
100 gram coklat gelap
2 sudu kecil vanila
Secubit garam
1/2 cawan air (jangan tuang kesemua air kecuali adunan terlalu pekat)

Cara membuat:

1. Panaskan oven 200 °C, taburkan kacang hazel dalam dulang pembakar yang dialas dengan kertas parchment.

2. Bakar kacang hazel lebih kurang 10 - 15 minit, tetapi pastikan ia tidak hangus.

3. Bila sudah sejuk, buang kulit kacang hazel.

4. Carikan coklat gelap dalam double boiler, masukkan kacang hazel, vanila dan garam.

5. Kisar adunan sehingga halus dengan menambah sedikit demi sedikit air sehingga mencapai kepekatan yang konsisten.

6. Sedia dinikmati bersama roti kegemaran anda.

Anak-anak pasti menyukainya!

Kredit foto: www.bigoven.com