Episiotomi dan caesarean adalah dua jenis luka bersalin yang biasa didengar. Keduanya memerlukan penjagaan rapi selepas melahirkan bayi. 

Apa itu episiotomi?

a. Episiotomi adalah luka yang dikaitkan dengan bersalin secara normal. Walaupun begitu, tidak semua kelahiran normal akan dilakukan episiotomi. Episiotomi berbeza dengan luka biasa. Episiotomi adalah luka akibat digunting oleh doktor. Manakala luka biasa adalah yang berlaku secara semula jadi semasa proses kelahiran.

b. Dulu, hampir kebanyakan wanita yang bersalin anak sulung secara normal akan dilakukan episiotomi. Kini tidak lagi kerana kesakitan yang dialami oleh mereka lebih daripada luka sendiri.

c. Banyak kajian yang telah dilakukan menunjukkan bahawa episiotomi menyebabkan risiko luka menjadi lebih besar. Hal ini berbeza dengan luka yang terjadi dengan sendirinya. Sakitnya hanya sedikit kerana tidak melibatkan otot yang banyak.

d. Luka episiotomi akan sembuh dalam tempoh 10 hingga 14 hari.

e. Bagi menjahit luka pula, ada beberapa jenis benang digunakan. Untuk episiotomi benang yang digunakan adalah daripada jenis yang akan menyerap sendiri. Tidak perlu dibuka. Antara jenis benangnya yang digunakan ialah cat gut dan vicryl.

e. Setiap jenis benang ada tahap kelembutan dan kekuatannya sendiri. Makin mahal benang tersebut bermakna benangnya lebih lembut dan tahan. Kesakitan pada tempat jahitan pun kurang.

f. Luka episiotomi lebih cepat sembuh berbanding luka pembedahan kerana lukanya hanya sedikit. Untuk episiotomi biasanya masa 2 minggu sudah mencukupi untuk pulih seperti sedia kala.

g. Biasanya rasa sakit akibat episiotomi hanyalah selama dua hari. Tetapi sekiranya kesakitan itu berterusan, mungkin ada jangkitan.

Apa itu luka caesarean?

a. Luka caesarean pula adalah luka akibat pembedahan dan terdapat dua jenis iaitu  jenis menegak dan melintang. Seboleh-bolehnya doktor akan memilih cara melintang kerana lebih cepat sembuh dan kurang sakit.

b. Bagi luka pembedahan caesarean, tempoh 10 hingga 14 hari cukup untuk kulit bercantum kembali.  Biasanya semua jenis luka boleh sembuh sepenuhnya dalam masa 42 hari iaitu 6 minggu.

c. Luka pembedahan melibatkan banyak lapisan. Lapisan dalam rahim, lapisan pada selaput kemudian baru kulit. Hal ini menyebabkan tempoh penyembuhan sepenuhnya luka tersebut adalah 6 minggu.

Ini cara terbaik menjaga luka bersalin supaya cepat sembuh

1. Memastikan kawasan luka sentiasa kering. “Bagi luka episiotomi, pastikan luka dilapkan kering-kering selepas ke tandas dan sapukan ubat luka yang diberi oleh doktor. Begitu juga dengan luka caesarean. Selepas mandi, pastikan luka tersebut dilapkan kering-kering.

2. Jika ibu bersalin secara pembedahan caesarean ingin menggunakan bengkung, letakkan lapisan kapas atau tisu yang tidak melekat supaya boleh menyerap peluh agar kawasan luka sentiasa kering. Hal ini sangat penting kerana jika lembap, jangkitan mudah berlaku.

3. Tidak digalakkan menggunakan ubat-ubatan tradisional seperti minyak atau herba untuk menyembuhkan luka kerana dikhuatiri minyak tersebut akan mengganggu percantuman semula kulit. Doktor akan menasihatkan agar mereka tidak meletakkan sebarang ubat-ubatan tradisional dalam tempoh 10 hari pertama selepas luka dijahit. Setelah yakin luka sudah bercantum, barulah doktor memberikan kebebasan untuk membuat apa yang diingini pada luka tersebut.

4. Apabila bercerita tentang luka, kita tidak akan terlepas daripada bercerita tentang parut. Untuk mengurangkan parut atau juga dikenali sebagai ‘keloid’ terutama pada luka caesarean, eloklah disapu dengan vitamin E.

Keloid wujud akibat reaksi tubuh terhadap luka. Hal ini berbeza antara seorang individu dengan individu yang lain. Walau bagaimanapun, sebelum vitamin E disapu, pastikan luka tersebut sudah kering.

5. Risiko jahitan terbuka tetap ada dan ia perkara biasa. Jahitan terbuka disebabkan oleh beberapa perkara. Antara penyebabnya ialah benang yang digunakan kerana ada benang yang cepat menyerap iaitu sebelum kulit bercantum kembali.

Selain itu, bergantung juga pada jenis tisu pada kawasan luka tersebut. Ada orang yang tisunya terlalu nipis dan mudah terkoyak. Mereka ini memang berisiko untuk luka terbuka kembali selepas dijahit. Satu lagi perkara yang turut menyebabkan jahitan terbuka ialah cara jahitan. Sekiranya jahitan terlalu ketat, masalah boleh timbul.

6. Sekiranya seseorang wanita itu mendapati jahitannya terbuka, segera berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut. Doktor akan memeriksa untuk memastikan adakah perlu dijahit semula ataupun tidak.

Sekiranya bahagian yang terbuka tidak terlalu besar, doktor akan biarkan sembuh dengan sendiri. Akan tetapi, sekiranya yang jahitan yang terbuka itu besar, doktor akan menjahit semula. Memang kalau dibiarkan akan sembuh tetapi tidak cantik dan otot tidak akan bercantum balik dan tidak kuat. Akan timbul masalah lain di kemudian hari.

7. Ibu hamil yang menghidap diabetes, akan mengambil masa untuk sembuh luka jahitan. Oleh yang demikian, mereka perlu pastikan tahap kencing manis dikawal. Kandungan gula dalam darah penting agar proses penyembuhan cepat.

8. Sekiranya inginkan luka cepat sembuh, pengambilan makanan seimbang penting.   Pastikan tubuh cukup vitamin terutama vitamin C kerana dapat mempercepatkan proses penyembuhan.

9. Selepas bersalin digalakkan mengambil multivitamin. Makan sayur dan buah-buah banyak kerana kandungan seratnya boleh mengurangkan sembelit. Akan tetapi sekiranya sudah lebih 14 hari namun luka masih tidak sembuh, jumpalah doktor segera kerana takut ada jangkitan.

10. Ibu selepas bersalin perlu berhati-hati terhadap pengambilan ubat-ubatan tradisional terutamanya dari segi kebersihannya. Dikhuatiri kandungannya akan membahayakan kesihatan.