Risaunya kalau bayi diserang selesema. Menangis-nangis dia tanda tidak selesa kerana hidungnya tersumbat. Jika boleh, kita tidak mahu beri si kecil makan ubat tetapi bagaimana selesemanya akan berkurangan.

Cuba rawatan secara semulajadi yang sangat mudah dan kosnya juga murah. Ibu atau ayah boleh lakukan sendiri di rumah. Dengan izin Allah SWT, selesema bayi anda akan berkurangan.

Ambil seulas bawang putih. Bakar ia di atas dapur masak sehingga berwarna kehitaman. Kemudian kupas kulitnya dan ketuk bawang tersebut. Campurkan minyak habbatusauda atau jika tiada boleh menggunakan minyak zaitun atau minyak masak. Sapukan minyak ini pada dada, belakang badan dan tapak kaki anak anda selepas mandi dan sebelum tidur.

Oleh kerana bayi tidak pandai lagi membuang hingus di dalam hidungnya, anda perlu membantunya mengeluarkan hingus tersebut. Buat rawatan wap air dengan campuran minyak bawang putih. Caranya, panaskan air menggunakan pemanas botol atau makanan bayi, sterilizer botol atau dalam periuk/baldi (wap cepat hilang).

Selepas air menggelegak, masukkan beberapa titis minyak bawang putih dan sedikit bawang putih yang diketuk daripada minyak tersebut. Kemudian tiarapkan anak di atas paha anda supaya hidungnya dapat menghidu wap minyak bawang putih tersebut. Lakukan selama 10 – 20 minit sehari dua kali sebanyak tiga hingga empat hari.

Jangan risau sekiranya bayi anda menangis bahkan ia lebih baik kerana dapat mengeluarkan cairan lendir dari hidungnya. Selepas tamat sesi rawatan wap, anda boleh menggunakan alat penyedut hingus bayi (nasal aspirator) untuk menyedut saki baki hingusnya.