Soalan

Anak saya gemar menyusu sebelah kanan sahaja. Puas saya memujuknya namun tidak berhasil. Mengapa dia hanya suka sebelah payu dara sahaja? Adakah payu dara yang tidak dihisap menjadi kering? Benarkah susu payu dara kanan ibarat nasi dan kiri, air. Kini anak saya cukup dua tahun. Bagaimana untuk saya bercerai susu kerana saya sering mengalami sakit belakang di bahagian kiri?

Suri

Kuala Kangsar, Perak

Jawapan

1. Mengapa dia hanya suka sebelah payu dara? Adakah boleh susu yang tidak dihisap kering?

 

Ada kalanya bayi akan menolak atau meragam ketika menyusu daripada salah satu payu dara atas beberapa sebab. Antaranya refleks pancutan susu terlalu perlahan, terlalu laju ataupun bekalan susu berkurangan. Oleh kerana itulah, bayi lebih suka menyusu daripada payu dara yang mana aliran susunya lebih baik dan banyak. Keadaan ini juga menjadi penyebab mengapa saiz payu dara berbeza (satu besar, satu kecil). Kadang kala, ini boleh menyebabkan ibu berasa tidak selesa. Antara punca mengapa berlakunya perbezaan bekalan dan aliran susu di antara payu dara ialah :

 

a. Keadaan fizikal payu dara. Semua wanita mengalami keadaan sebelah payu dara mempunyai lebih duktus atau alveoli berbanding sebelah lagi. Keadaan ini normal. Perbezaan keadaan areola/puting agak biasa berlaku (puting tenggelam/leper). Keadaan ini menyebabkan bayi lebih mudah dan gemar melekap pada payu dara yang berkeadaan normal.

 

b. Bayi menggemari salah satu payu dara sahaja. Kebiasaannya, bayi akan lebih menggemari satu belah payu dara. Oleh itu, dia akan menyusu dengan lebih efisyen dan kerap dan menerusi payu dara yang disukai.

 

c. Ibu menggemari salah satu belah payu dara. Antara sedar atau tidak, ibu kadangkala lebih suka menawarkan sebelah payu dara lebih kerap berbanding yang sebelah lagi atau anda sendiri berasa kekok. Biasanya perkara ini akan berlaku pada waktu malam apabila tidak perasan kerana terlalu letih atau mengantuk.

 

d.Pembedahan atau kecederaan. Jika salah satu belah payu dara pernah cedera atau dibedah, ia mungkin mempengaruhi bekalan atau aliran susu.

Kesabaran dan kegigihan adalah kunci kejayaan. Oleh itu, teruskan usaha anda untuk menyusukan anak. Bayi mungkin akan menerima kembali payu dara sebelah kiri sedikit masa lagi. Perlu diingat! Bayi perlu dipujuk dan bukan dipaksa! Jika dia masih meragam atau enggan, ibu harus teruskan rangsangan di payu dara kiri dengan memerah sekerap mungkin kerana ini penting untuk memastikan bekalan susu berkekalan pada payu dara tersebut.

 

2. Benarkah susu payu dara kanan ibarat nasi dan kiri, air?

Tidak benar. Kedua-dua payu dara menghasilkan susu yang sama.

 

3. Kini anak saya cukup dua tahun. Bagaimana untuk saya bercerai susu?

WHO dan UNICEF di dalam kenyataan masing-masing menyarankan penyusuan susu ibu diteruskan lebih daripada dua tahun di samping pemberian makanan pelengkap. Bagi kanak-kanak yang diberi peluang untuk menyusu selama yang diinginkan, biasanya dia bercerai susu secara semula jadi pada usia tiga atau empat tahun.

 

4. Saya sering mengalami sakit belakang di bahagian kiri.

Adakalanya sakit belakang ini mungkin berpunca daripada posisi penyusuan yang tidak betul atau selesa. Oleh itu, pastikan ibu tidak membongkok ketika menyusukan bayi. Sokongan dengan menggunakan bantal ketika menyusu sambil baring atau duduk mungkin dapat membantu.

 

Jawapan disediakan oleh Rita Rahayu Omar, Pakar Laktasi