Soalan:

Beberapa bulan lepas, saya memberikan makanan pejal kepada bayi saya yang berusia lapan bulan dengan mencampurkan bijirin ke dalam susu ibu yang diminumnya sebanyak empat kali sehari. Adakah cara ini selamat dan sesuai untuk memperkenalkan makanan pejal kepada bayi?

Saya juga ingin meminta pandangan, adakah dengan memberikan bijirin dengan kekerapan empat kali sehari boleh memenuhi keperluan nutrien bayi saya?

 

Jawapan:

Pemberian makanan pejal kepada bayi boleh dilakukan apabila usia bayi mencecah enam bulan. Makanan pejal yang diberikan pula tidak semestinya dalam bentuk bijirin.

Tidak menjadi masalah jika puan memberikan anak makan bijirin. Namun, pada usia lapan bulan, makanannya harus dipelbagaikan. Pada usia ini, dia boleh diberi bubur yang dimasak hancur dan yang dicampurkan dengan pelbagai jenis protein seperti ikan atau ayam dan sayur-sayuran.

Pada usia ini juga, dia harus diberikan buah-buahan sebagai snek dan pemakanan untuk dia tidak seharusnya terdiri daripada bijirin sahaja. Walaupun begitu, kebanyakan bijirin untuk pemakanan bayi telah dibuat untuk memenuhi keperluan nutrien bayi pada peringkat umur tertentu.

Harus diingati juga bahawa apabila makanan pejal diperkenalkan, bayi harus diberi makan menggunakan sudu dan disuap. Bukannya dengan menggunakan botol susu!