Soalan:

Saya bercadang mahu menyusukan bayi dengan susu ibu sepenuhnya dalam tempoh enam bulan pertama ini. Ada yang sarankan saya untuk belajar cara memerah susu ibu tanpa menggunakan pam. Bagaimanakah caranya? Harap dapat bantu saya.

 

Jawapan:

Terdapat dua cara untuk anda mengumpul perahan susu ibu. Sama ada menggunakan tangan ataupun pam. Namun begitu, sangat digalakkan untuk anda memahirkan diri dengan kedua-dua kaedah ini pada masa yang sama. Jika dalam keadaan yang memerlukan seperti pam payudara rosak atau lupa dibawa bersama, anda masih berupaya untuk memerah susu ibu mengikut masa yang sepatutnya.

Teknik perahan Marmet

Pada peringkat permulaan, teknik Marmet mungkin agak leceh. Namun, dengan teknik yang betul dan latihan yang berterusan, teknik ini diakui banyak membantu ibu menyusu mengumpul susu ibu perahan tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada pam payudara.

Malah, menurut kajian yang dilakukan oleh pakar laktasi di Barat, ia mendapati bahawa sentuhan kulit ke kulit iaitu tangan dan payudara lebih efektif dalam merangsang payudara untuk mengalirkan susu ibu dengan lebih lancar. Apa yang menarik mengenai teknik ini ialah ia dapat mengurangkan kerosakan tisu payudara, payudara lebam ataupun kulit di sekitar payudara melecet kesan daripada penggunaan pam payudara yang keterlaluan.

Langkah 1

Buat pegangan C dengan meletakkan ibu jari lebih kurang 1sm daripada aerola. Manakala jari telunjuk dan jari tengah diletakkan di bahagian bawah aerola. Kedua-dua jari ini berfungsi untuk mengampu bahagian bawah payudara. Dalam pada itu, anggaplah payudara anda seperti jam. Arah ibu jari berada pada jam 12 dan dua jari yang lain berada di posisi jam 6.

Langkah 2

Tekan payudara secara lembut ke arah dada tanpa memindahkan posisi jari telunjuk dan jari tengah.

Langkah 3

Selanjutnya, picit ibu jari, jari telunjuk dan jari tengah bagi menggalakkan susu ibu keluar daripada puting. Kemudian, lepaskan dan ulang semula dengan melakukan pergerakan picit – lepas – picit – lepas.

Langkah 4

Ulangi langkah 1 hingga 3 sehingga aliran susu mula berkurangan.

Langkah 5

Setelah itu, alihkan posisi ibu jari ke arah jam 11, 10, 9 , 8 dan 7. Manakala jari tengah pula ke arah jam 5, 4, 3, 2 dan 1. Lakukan gerakan memerah sama seperti langkah 1 hingga 4 supaya kesemua saluran susu dapat diperah sepenuhnya dengan sebaik mungkin.

Langkah 6

Sehubungan itu, tadah susu ibu yang berjaya diperah ke dalam bekas penyimpanan susu ibu yang bersih.

Langkah 7

Beralihlah ke payudara sebelah pula jika anda benar-benar yakin bahawa susu ibu di payudara berkenaan telah dikosongkan dengan sebaik mungkin.

Panduan lain

1. Memerah atau mengepam susu perlu dilakukan dalam keadaan yang tenang, selesa dan tidak menyakitkan.

2. Memerah atau mengepam susu dengan lebih kerap adalah lebih berkesan untuk meningkatkan penghasilan susu berbanding melakukannya untuk tempoh masa yang lama bagi setiap sesi.

3. Patuhi rutin mengepam yang sama setiap hari. Sebaik-baiknya lakukan sehingga tiga kali sesi memerah atau mengepam ketika bekerja.

4. Memerah atau mengepam susu pada waktu malam atau awal pagi juga membantu meningkatkan pengeluaran susu.

5. Semasa berada dengan bayi, anda digalakkan untuk menyusukannya di sebelah payudara dan mengepam di sebelah payudara yang lainnya.

 

Soalan ini dijawab oleh Rita Rahayu Omar, IBCLC