Soalan:

Anak saya yang berumur lima tahun kerap mengalami cirit-birit. Jika salah makan, dia akan berulang-alik ke tandas kerana kerap membuang air besar. Ketika dia mengalami masalah sebegini, makanan jenis apakah yang patut saya berikan kepadanya?

Jawapan:

Merujuk kepada soalan puan, pertama sekali, apa yang perlu buat ialah pastikan anak mendapat cecair yang mencukupi. Hal ini kerana semasa cirit-birit dialami, berkemungkinan anak puan kehilangan cecair dari dalam badannya.

Selain daripada itu, pastikan juga pengambilan elektrolit adalah pada kadar yang mencukupi. Kebiasaannya jika seseorang itu menderita cirit-birit, pesakit akan diberikan minuman yang mengandungi elektrolit (URS) oleh doktor yang memeriksanya.

Perkara kedua yang perlu dititikberatkan ialah apa-apa sahaja jenis makanan atau minuman yang boleh membantu mempercepatkan proses penyembuhan. Antaranya ialah minuman berkultur seperti yogurt. Seperti yang kita sedia maklum, di dalam yogurt, terdapat bakteria-bakteria baik yang sangat menyokong kesihatan sistem penghadaman.

Ketiga, elakkan apa jua amalan yang boleh menjejaskan tahap kesihatan anak seperti mengambil teh pekat atau sebagainya.

Sebagai langkah pencegahan di masa akan datang, adalah lebih baik jika puan mengenal pasti apakah punca sebenar cirit-birit yang berlaku. Adakah mungkin anak sensitif atau alah terhadap sesetengah jenis makanan? Jika ia disebabkan oleh masalah sensitif atau alahan makanan, maka makanan berkenaan perlu dielakkan.

Sekiranya anak puan sering kali mengalami cirit-birit, dibimbangkan ia akan menjejaskan pertumbuhan dan perkembangan anak, di mana khasiat daripada makanan yang diambil tidak dapat diserap badan dengan sempurna semasa berlakunya masalah cirit-birit.

 

Soalan ini dijawab oleh Nurbaidurah Bazid, pegawai Dietitik di KPJ Kajang Sepcialist Hospital