Kalau hati dah jatuh sayang, teringat-ingat dan terbayang-bayang sahaja. Itulah perasaan yang dirasakan oleh Nur Amira Zulkifli, 21, yang menemui bayi lelaki malang di belakang rumahnya di Taman Perpaduan di Tambun pada awal pagi 14 November.

 

Bayi yang ditemui dalam keadaan tertiarap dengan uri membengkak dan badan hampir biru akibat kesejukan kerana lama berada di kawasan semak di rumah kosong bersebelahan dengan rumah ibunya itu menangis tanpa berhenti.

 

“Saya mula dengar suara halus itu kira-kira jam 11 malam dan menyangka ia bunyi kucing. Namun, kira-kira jam 1 pagi, suami (Muhammad Iskandar Johari, 21) pula rasa lapar dan minta saya masakkan sesuatu.

 

“Ketika berada di dapur, saya dengar tangisan makin kuat. Semua ahli keluarga bangun dan mencari arah suara berkenaan dan menemui bayi itu di kawasan semak bahagian belakang rumah jiran yang telah kosong,” katanya.

 

Menurut Nur Amira tangannya menggigil tatkala mengangkat bayi malang tersebut yang masih melekat bersama urinya dan dalam keadaan sejuk tanpa pakaian.

 

Hatinya menjadi sayu melihat wajah bayi penuh dengan tanah, bagaimanapun bersyukur bayi berkenaan masih bernyawa ketika ditemui.

 

“Suami terus bersihkannya sebelum dibawa ke Balai Polis Tambun untuk membuat laporan. Sepanjang dalam dakapan saya, bayi ini baik, tidak menangis langsung.

 

“Cumanya dia menangis mungkin kerana kelaparan, kami bagi air masak dengan menggunakan hujung tuala,” katanya.

 

Katanya, bayi berkenaan kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

 

“Kami semua sayang bayi itu walaupun sekejap saja dapat mendakapnya."

 

"Hasrat hati, nak lihat bayi berkenaan sebelum pulang ke Kuantan kerana suami bertugas di sana, tetapi pihak hospital tidak benarkan. Sedih juga hingga menangis sebab nak lihat dia,” katanya kepada pemberita.

 

Nur Amira berkongsi gambar bayi malang tersebut dan berharap dapat bertemu dengan si comel satu hari nanti di dalam facebook miliknya.

YaAllah comelnya awak sayang,putih bersih je.Muka je calar-calar sikit

 

kena ranting kayu,membesar dgn baik&sihat ye.

 

In shaa Allah nnt kita jumpa lagi nk cium awak puas-puas

 

Ramai netizen mendoakan agar Nur Amira berpeluang untuk membela bayi tersebut. Semoga doa tersebut dimakbulkan.

 

Sumber: Sinar Harian & Facebook Nur Amira