Pasangan kembar berusia dua tahun berjaya membuatkan ramai berasa cemas tetapi dalam masa yang sama 'touching' apabila menyaksikan video mereka. Kenapa?

 

Brock Shoff dan Bowdy sedang bermain-main dengan sebuah rak sebelum kejadian mencemaskan berlaku kepada salah seorang daripada mereka.

 

Kejadian yang terakam menerusi kamera CCTV menunjukkan bagaimana pasangan kembar ini cuba masuk ke dalam laci rak di rumah mereka ketika sedang bermain. Kemudian rak tersebut terjatuh dan menghempap kedua kembar tetapi Brock terhempap hampir keseluruhan badannya manakala Bowdy yang hanya tersepit kaki, berjaya keluar menyelamatkan diri.

 

Bermulalah detik cemas apabila Brock menangis dan berada dalam kesakitan apabila bahagian pinggangnya dihempap manakala Bowdy pula kelihatan cuba mencari jalan untuk menyelamatkan kembarnya.

 

Pada mulanya, dia berusaha untuk mengangkat rak tersebut tetapi sudah tentu ia tidak mampu dilakukan olehnya. Namun, si kecil tidak berputus asa, dan cuba bermacam cara lagi termasuk memanjat ke atas rak tersebut.

 

Cubaannya tanpa berputus asa dengan menolak rak itu sekuat hati berjaya membuatkan kembarnya dapat mengeluarkan diri daripada rak yang menghempapnya.

 

Bapa mereka, Ricky memuatnaik video tersebut di Facebooknya pada Ahad lepas dengan niat hendak berkongsi kepada ibu bapa lain supaya sentiasa berhati-hati apabila ada anak kecil dan banyak perabut berat di rumah.

 

Menurut Ricky, pada mulanya dia agak teragak-agak untuk berkongsi video tersebut tetapi merasakan dia bertanggungjawab juga berkongsi dengan ibu bapa lain sebagai peringatan selain menunjukkan sesuatu yang menakjubkan.

 

"Kami bersyukur dengan ikatan yang dikongsi oleh pasangan kembar. Kami tahu Bowdy bukan berseorangan ketika menggerakkan rak itu dari Brock. Sangat bersyukur dia (Brock) ok."

 

"Sila pastikan semua rak anda diskru dan dikemaskan di dinding," tulis Ricky.

 

Sumber: Dailymail