Rententan daripada artikel Pa&Ma bertajuk "Jangan Bancuh Susu Formula Bayi Guna Air Mineral. Boleh Bahayakan Buah Pinggang!" ramai yang menimbulkan persoalan tentang kekeliruan dalam membezakan jenis-jenis warna penutup botol air mineral yang ada di pasaran.

Ini berikutan ramai ibu bapa tidak mahu tersalah menggunakan air minuman komersial untuk kegunaan membancuh susu formula bayi mereka.

Sebaiknya sebelum membeli air mineral anda hendaklah membaca terlebih dahulu label di botol, jika tidak pun sekurang-kurangnya anda sudah tahu setiap warna penutup itu mewakili maksud apa.

Menurut laman web rasmi Bahagian keselamatan & Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan Malaysia, secara amnya semua air adalah sama, hanya kandungan bahan larut seperti mineral, bahan cemar dan bahan organik sahaja yang berbeza. Perbezaan ni bergantung kepada jenis punca, kaedah rawatan yang digunakan dan pemprosesannya.

Ada pengguna yang keliru apabila membaca tentang pelbagai kaedah rawatan air tersebut seperti osmosis berbalik, osmosis songsang, R.O Water, air suling dan ozon water. Sebenarnya ia adalah jenis-jenis proses rawatan ke atas air yang dilakukan untuk air minuman berbungkus.

Secara amnya proses rawatan tersebut adalah untuk menghilangkan bau, rasa, kontaminan organik dan klorin. Rawatan seperti penyulingan dan osmosis berbalik adalah untuk membuang atau mengurangkan mineral manakala ozon digunakan untuk membunuh kuman.

Sebagai pengguna anda harus tahu membezakan di antara air mineral semula jadi dan air minuman berbungkus yang dibotolkan. Cara paling mudah iaitu membaca label dan melihat pada warna penutup botol. Penutup berwarna putih untuk air minuman berbungkus dan pelbagai warna untuk air mineral semula jadi.

1. Penutup biru

Sumber daripada strata kandungan air bawah tanah melalui mata air, telaga, gerekan dan lain-lain jalan keluar.Punca perlu mendapat kelulusan dan lesen daripada Kementerian Kesihatan.

 Tidak boleh diperkaya/diperkuat atau ditambah dengan vitamin atau mineral.Ia akan dilabelkan sebagai air mineral semula jadi.

2. Penutup putih

Semua punca air yang selamat seperti dari sistem bekalan air awam atau air paip, air permukaan (sungai, kolam, tasik) dan air tanah (telaga tiub, mata air). Perlu mendapat kelulusan dan lesen dari Kementerian Kesihatan. Boleh mengandungi tambahan garam klorida, bikarbonat dan sulfat bagi kalsium, magnesium, kalium dan sodium serta karbon dioksida. Jika anda pernah terbaca tentu perasan air botol berpenutup putih hanya dilabel sebagai air minuman atau 'drinking water' dan harganya lebih murah berbanding air mineral berpenutup biru.

3. Penutup hijau

Sumber daripada strata kandungan air bawah tanah melalui mata air, telaga, gerekan dan lain-lain jalan keluar.Punca perlu mendapat kelulusan dan lesen daripada Kementerian Kesihatan.

Tidak boleh diperkaya/diperkuat atau ditambah dengan vitamin atau mineral.Ia akan dilabelkan sebagai air mineral semula jadi. Biasanya kandungan mineral dan lokasi tempat pengambilan air akan tertera di label botol air mineral tersebut.

Maksudnya hanya air minuman yang berpenutup warna putih (air minuman berbungkus) sahaja yang selamat digunakan sebagai air untuk membancuh susu formula anak. Ini kerana piawaiannya sama seperti air paip. Tetapi ia mesti dididihkan terlebih dahulu sebelum digunakan.

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia