Apa lagi yang lebih membahagiakan dalam bulan paling mulia ini selain daripada dapat khatam Al-Quran. Pasti Ramadan kali ini lebih manis dirasakan.

Ia telah berjaya dilakukan oleh seramai lebih 5000 orang yang berkumpul membaca Al-Quran dalam program Malaysia #QuranHour di Masjid Tunku Mizan Putrajaya atau lebih popular dengan gelaran Masjid Besi.

Rakyat Malaysia di seluruh dunia bersatu hati duduk serentak berinteraksi dengan Al-Quran selama satu jam. Pengisian Al-Quran dibaca, difahami dan diamalkan nilai-nilai mulia di dalam al-Quran sehingga lahir Bangsa Berbudi & Penyayang.



Program Malaysia #Quran Hour dimulakan tepat jam 12 tengah hari dengan bacaan surah al-Fatihah diikuti surah al-Baqarah oleh Mufti Wilayah Persekutauan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Ia kemudian diteruskan dengan bacaan 24 surah oleh 24 tokoh antaranya Pengerusi Majlis Dakwah Negara, Prof Emeretus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Mustafar Ali, Ikon Rumah Ngaji, Datuk Rosyam Nor, Qari Junior Harith, Tahfiz Muda Aqil, Munif Ahmad, PU Amin dan vokalis kumpulan Caliph Bukers, Azmi Saat.



Berkenaan berangkat sebagai tanda sokongan kepada program Malaysia #QuranHour adalah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah. Baginda diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI), Datuk Dr Hussamuddin Yaacub.



Program ini turut disertai oleh VVIP, wakil dari agensi, pelajar sekolah, kolej dan orang awam.