Pada tahun pertama si kecil, perkembangan kemahiran manupulatifnya semakin aktif. Aktiviti bermain banyak melibatkan kemahiran manipulatif jari dan tangan bayi. Menjadi tugas papa dan mama untuk membantu merangsang perkembangan ini.

Ini antara kemahiran penting yang mesti dikuasai oleh bayi pada tahun pertama kehidupannya. Jadi, papa dan mama perlu bersama membantu merangsang kemahiran ini.

Cuba kita lihat beberapa perkembangan manipulatif si manja mengikut bulan-bulan awal kelahirannya.

1. Baru lahir

Jari bayi digenggam erat setiap masa. Malah jari anda juga akan digenggam erat. Namun apabila terdengar bunyi bising yang kuat, dia akan membuka jarinya. Tindakan refleks ini berlaku kepada bayi yang baru lahir.

2. Dua bulan

Ketika ini tangan si manja akan terbuka. Inilah masa untuk dia menyedari kewujudan tangannya. Dia baru perasan dan sangat teruja apabila melihat tangan sendiri.

3. Empat bulan

Dia semakin membesar. Ketika ini dia boleh mengawal dan menggerakkan tangan dan kakinya. Pergerakan tangan dan kaki semakin aktif. Dalam tempoh ini, dia boleh menggoyangkan permainan berbunyi dengan tangannya. Tetapi jika mainan terjatuh, si manja tidak dapat mengutipnya.

4. Enam bulan

Bayi semakin bijak. Kini dia sudah boleh memegang objek dengan baik dan boleh memindah objek dari satu tangan ke tangan yang satu lagi. Dia juga suka menjatuhkan objek dan ambil semula dan menjatuhkannya lagi. Itu permainan baru buatnya.

5. Lapan bulan

Si kecil sudah pandai membuat bising sambil bermain dengan permainannya. Jika dulu dia hanya boleh merenyukkan kertas, kini dia boleh mengoyakkannya pula. Tetapi hati-hati kerana dia mungkin akan memasukkan cebisan kertas ke dalam mulutnya.

6.10 bulan

Ketika ini dia boleh mengambil objek kecil menggunakan ibu jari dan jari telunjuknya. Dia boleh menunjukkan objek dengan jari telunjuknya. Pada usia ini juga, dia boleh membina menara bongkah.

7. 12 bulan

Si kecil sudah boleh membaling mainan dengan sengaja. Ia seakan permainan baru buatnya. Dia juga sudah berhenti memasukkan sebarang objek dalam mulutnya namun tetap berminat dengan pelbagai objek baru yang ditemui. Maka masih perlu berhati-hati dan mengawasi pergerakannya kerana takut tertelan objek yang berbahaya.

Peluang memerhatikan perkembangan bayi pada tahun awal kehidupannya memang sangat mengagumkan. Jangan persiakan peluang tersebut di samping bantu si manja mencapai kemahiran selaras mengikut perkembangan usianya.