Siti Rohana Redzuan, 36, yang mengajar di sekolah menengah sekitar Kulai ditemui dalam keadaan kaku di atas katil bersama dua anak oleh suaminya selepas pulang bekerja.

Difahamkan suami Siti Rohana yang berumur 35 tahun bekerja sebagai pemandu lori pergi bekerja pada hari sama kira-kira jam 6.30 pagi ketika isterinya sedang nyenyak tidur.

Bagaimanapun, kematian Siti Rohana hanya disedari oleh suaminya kira-kira jam 8 malam pada hari kejadian selepas pulang bekerja.

Menurut suami wanita berkenaan, isterinya dalam tempoh cuti bersalin selama lebih sebulan selepas melahirkan anak kedua mereka.

Pihak Hospital Kulai yang hadir di lokasi kejadian telah mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

Paling memilukan semasa kejadian, kedua-dua anak mereka berada di kiri dan kanan mangsa dalam keadaan terjaga.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Razak Md Said mengesahkan kejadian itu.

“Hasil bedah siasat dijalankan mengesahkan punca kematiannya disebabkan paru-paru berair dan masalah jantung," katanya.

 

Sumber: Sinar Harian