“Kelas anak saya ada 38 orang!” – Itu bukan luar biasa, tapi realiti biasa di sekolah rendah kebangsaan hari ini. Bila jumlah murid terlalu ramai dalam satu kelas, kesannya bukan kecil. Dari tumpuan belajar hingga kesejahteraan emosi, ramai yang terjejas tapi tidak sedar.
Kenapa Isu Ini Perlu Diberi Perhatian?
Murid sekolah rendah masih perlukan bimbingan dekat, perhatian individu dan sokongan emosi. Bila kelas terlalu ramai:
Ads
Cikgu sukar beri tumpuan kepada setiap murid.
Murid perlahan makin tercicir.
Kelas jadi bising dan susah dikawal.
Bagaimana Kelas Terlalu Padat Menjejaskan Anak?
Pembelajaran jadi superficial – tak sempat nak dalami topik.
Anak jadi pasif – takut nak bertanya dalam suasana yang sesak.
Sukar bina hubungan dengan guru – komunikasi jadi minimum.
Kekurangan interaksi dua hala – banyak masa dihabiskan kawal disiplin.
Kepentingan Kelas Yang Lebih Kecil
Lebih interaksi peribadi antara guru dan murid.
Mudah kenal pasti murid yang bermasalah.
Suasana pembelajaran lebih tenang dan fokus.
Meningkatkan motivasi dan keyakinan diri murid.
Keburukan Jika Dibiarkan
Jurang pencapaian makin besar – Murid yang memerlukan bantuan khas makin tertinggal kerana guru tidak mampu beri perhatian khusus.
Anak jadi cepat hilang minat ke sekolah – Mereka rasa seperti tak difahami, tak dihargai, dan akhirnya putus asa dengan pelajaran.
Cikgu cepat penat dan stres – Keperluan untuk kawal kelas besar melemahkan motivasi guru dan menjejaskan kualiti pengajaran.
Murid jadi angka, bukan insan yang dikenali – Tiada ruang untuk guru kenal potensi, minat atau isu emosi setiap murid secara mendalam.
Kesan jangka panjang kepada sistem pendidikan – Jika dibiarkan, ia boleh melahirkan generasi yang tidak cukup bersedia dari segi ilmu dan emosi.
Peranan Siapa Untuk Ubah Keadaan?
Pihak Berkepentingan
Tindakan yang Dicadangkan
Kementerian Pendidikan
Kaji semula nisbah guru-murid dan tambah guru jika perlu.
Sekolah
Rancang agihan murid supaya lebih seimbang antara kelas.
Ibu bapa
Suarakan kebimbangan melalui saluran rasmi seperti PIBG.
Komuniti
Fahami dan sokong usaha pendidikan berkualiti untuk semua.
Ads
Anak sekolah rendah bukan sekadar ‘nombor dalam daftar’. Mereka insan kecil yang perlukan perhatian, sokongan dan ruang untuk berkembang. Bila kelas terlalu padat, siapa yang akhirnya rugi? Masa depan mereka – dan itu tanggungjawab kita semua.
Nak latih kemahiran berfikir pada anak, ibu ayah boleh aje lakukan beberapa aktiviti mudah di rumah. Sebagai ibu bapa sudah tentu kita ingin anak kita mempunyai imaginasi yang tinggi serta kreatif.
Kemahiran berfikir secara kreatif boleh dipupuk sejak dari kecil lagi. Apakah aktiviti-aktiviti yang dapat membantu membentuk kreativiti?
1.Menconteng, mewarna dan melukis
Anak-anak kecil amat suka melukis. Anda pasti pernah melihat lakaran-lakaran pada badan anak dan tertanya bila masa anak anda menconteng dirinya. Atau anda pasti terkejut dengan karya seni anak yang tiba-tiba terpapar di dinding rumah yang baru dicat. Anak suka melukis dan akan melukis apabila diberi kesempatan.
Dengan itu bekalkan anak dengan kertas dan alat tulis yang sesuai dari segi kuantiti serta jenisnya. Sediakan juga buku-buka mewarna untuk anak. Anak yang suka menconteng, melukis dan mewarna akan sentiasa mempunyai aktiviti yang bermenafaat dan kurang masa untuk melakukan sesuatu yang tak berfaedah.
Lazimnya, aktivti ini akan menjadi hobi anak sehingga dia dewasa. Kemahiran melukis meningkatkan otak kanannya. Ia adalah suatu kemahiran yang berguna walaupun dia seorang doktor.
2. Seni dan kraf
Selain dari melukis, libatkan anak-anak dalam aktivti bercorak kraftangan. Ajak anak menghasilkan karya seni atau kraf dari bahan buangan. Ini akan memupuk rasa sayangkan alam sekitar di samping membentuk daya kreativiti anak. Mengajar anak seni lipatan seperti origami juga membina daya kreativiti anak serta membantu membangunkan pergerakan motor halusnya.
3.Bermain lego dan blok
Ia berupaya membina kreativiti dari kedua-dua permainan ini. Anak dapat menghasilkan karya yang kadang kala diluar dugaan kita dengan menggunakan lego dan blok. Malah mereka akan menceritakan apa yang terdapat pada rekaannya dan kenapa rekaannya sebegitu. Permainan blok serta lego juga mengembangkan daya kognitif anak. Konsep ruang, tinggi, rendah serta besar, kecil dapat dipelajari secara tak langsung,
4.Jigsaw puzzle
Salah satu aktiviti yang dapat membina kreativiti anak adalah jigsaw puzzle. Anak harus mampu melihat gambaran yang menyeluruh untuk menyelesaikan jigsaw puzzle. Anda boleh memperolehi berbagai jenis jigsaw puzzle pada tahap yang berbeza. Bermulalah dengan jigsaw puzzle yang mudah; yang mempunyai 2 hingga 3 pecahan dan pertingkatkan cabaran. Malah anda boleh menghasilkan jigsaw puzzle anda sendiri dengan menggunakan gambar dari poster atau yang dicetak dari alam maya. Pertama kali melaksanakan aktivti ini pastikan gambar yang dipilih adalah gambar yang mudah dan dikenali anak.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Kenapalah anak saya ni buat perangai gini. Selalu sangat mengamuk. Aduhai..stress saya dibuatnya.”
“Dulu, asal tak nampak saya melalak kemain, sekarang macam-macam perangai yang mengeramkan saya. Mana taknya, mainan orang dia rebut, kongsi..emm jangan haraplah. Kadang tu tolak kawan. Geram betul saya. Dah cakap baik-baik tak nak dengar. Berbuih dah mulut ni pesan kat dia. Buat juga.”
“Orang kata jangan dibiarkan perangai macam ni. Nanti jadi budak degil. Tapi, kesian pula bila dah pukul. Tapi kalau tak buat gitu, menjadi-jadi plak perangainya.”
Ok menurut Pakar Keibubapaan Dan Kekeluargaan, Ibu Rose anak di usia 1 tahun 6 bulan dan ke atas dijadikan oleh Allah kuat ego centric. Maksudnya bukan dia ego, tetapi dia lebih fokus kepada dirinya. Mekanisma ini ada pada setiap manusia pada usia ini. Inilah cara Allah memastikan kemandirian manusia di dunia ini.
PERKEMBANGAN OTAK
Anak-anak pada usia ini hanya memikirkan dirinya kerana pada usia ini bahagian lapisan kedua daripada bahagian ketiga lapisan otak – triune belum begitu berkembang.
Otak ada tiga lapis. Bahagian paling bawah mengawal keselamatan, berkembang pada masa lahir hingga 3 tahun. Pada usia ini anak-anak hanya memberi respons kepada stimulus, ransangan dan belum boleh berfikir.
Pada usia 3 tahun barulah lapisan kedua atau otak tengah anak berkembang. Bahagian otak ini menjaga emosi dan kesihatan. Pada ketika ini barulah anak-anak memikirkan orang lain dan sedar lebih mengenai kewujudan orang lain. Pada masa ini juga barulah EQ anak mula berkembang dan dia mula faham untuk bertolak ansur.
Anda akan lihat anak yang merasakan dia dijaga dengan baik dan berasa selamat, bahagian otak tengah ini mungkin sudah mula berkembang pada usia lebih awal. Maka anda melihat situasi anak-anak itu baru menjangkau 2 tahun, tapi sudah boleh memikirkan perasaan orang lain. Pucuk pangkalnya, bila anak itu rasa selamat, perkembangannya cepat.
Pada usia 4 tahun keatas barulah bahagian otak paling atas iaitu neokorteks atau otak berfikir anak mula-mula develop. Barulah mereka boleh faham penerangan yang kita beri dengan lebih lagi. Namun, mereka masih belum boleh membezakan yang baik dari yang buruk kerana mereka belum mumayiz. Frontal lobe mereka belum develop penuh.
JANGAN MUDAH MELABEL
Oleh kerana ibu bapa dan ramai orang dewasa termasuk datuk nenek tak faham, cepat saja mereka menamakan anak-anak kecil seperti yang nampak tidak mendengar penerangan dan larangan sebagai ‘degil’ dan ‘ego’.
Setiap kali Ibu mendengar perkara seperti ini, terhiris sungguh hati Ibu kerana sampai hati orang dewasa melakukan perkara begini kepada anak-anak kecil yang masih suci seperti kain putih.
CARA HADAPI ANAK EGO CENTRIC
Jika anak itu salah berperangai, merebut barang, atau bermain dengan benda yang merbahaya, untuk dia tidak terus melakukan perkara itu, anda boleh :
MARAH CARA MUDAH ANAK JADI ‘BAIK’
Ya, memang kononnya jalan paling senang dan cepat bagi menangani anak-anak kecil yang kuat kehendaknya ini ialah dengan memarahinya dan menghukumnya dengan kasar. Tapi ini menyebabkan anak ini berasa tidak selamat.
Ingat pada usia ini, bahagian otak paling bawah yang sedang berkembang. Anak ini akan berasa tidak selamat. Bila seorang itu berasa tidak selamat, dia akan lari atau melawan. Maka itulah yang menyebabkan bila dia besar sikit dan kerana keadaan marah-marah dan melarang dengan kasar ini berterusan, anak itu akan selalu mengamuk dan bertambah kuat mengamuk.
Atau menjadi anak-anak yang senyap kerana TAKUT dan tiada keyakinan diri.
Bila terjadi begini, apakah yang ramai orang dewasa lakukan? Kuatkan lagi marah dan kuatkan lagi hukuman?.
KESAN MARAH BERTERUSAN
Lama-lama, menjangkau 3 tahun, emosi anak penuh dengan kemarahan dan kesedihan. Anak begini membesar menjadi anak-anak yang memendam rasa, nampak diam, tapi bom jangka sedang berdetik, menunggu masa saja untuk meletup.
Tiba usia yang lebih tua, seperti remaja, anak yang sama ini akan menjadi sangat degil, pemarah dan tidak hormat orang tua. Ada yang menerajang ibu bapa!
Bukankah telah diingatkan oleh Nabi s.a.w, bahawa pada akhir zaman, akan ramai anak-anak yang menjadi tuan pada ibu bapa mereka. Bukan kerana ibu bapa mereka melayan mereka dengan kasih-sayang tetapi kerana ramai ibu bapa yang tidak memahami bagaimana untuk mendidik anak-anak sehingga mereka tersilap cara lalu merosakkan diri anak-anak itu sendiri.
MENDIDIK DENGAN LOVING & FIRM
Anak yang dibesarkan dengan kasih-sayang, hormat dan kefahaman psikologi kanak-kanak, akan membesar mengasihi ibu bapa mereka.
Bila kita berlembut dengan anak sekecil 1 tahun 6 bulan itu,bukan bermaksud kita memanjakan atau membiar dan kita lemah. Sebenarnya, kita sedang membina rasa selamat yang kukuh, untuk mudah otak tengahnya pula berkembang cepat. Kita tetap tegas, tapi kita juga penuh kasih-sayang.
Cuba tengok betul-betul, anak-anak yang dididik penuh kasih-sayang, dihormati perasaaan mereka dan berasa selamat, meningkat cepat kepandaian mereka berbanding dengan anak-anak yang selalu dimarah dan dihukum kasar.
Bila anak-anak sekecil itu merampas mainan kawan, bukan dia perampas, tapi dia belum lagi tahu maksud ini barang orang dan dia perlu meminta izin atau bermain bersama. Anak pada usia ini, kalau dia hendakkan sesuautu, dia mengambilnya sahaja. Bila tidak dapat dia akan meraung. Kerana itulah yang dimaksudkan ego centric. Centre pada dirinya sahaja.
PESANAN IBU
Janganlah kita orang dewasa cepat melatah dan menghukum anak-anak kecil ini dengan perkataan seperti jahat, degil, perampas… dan dipukul dan sepertinya yang akan masuk ke unconscious mindnya dan menjadi belief atau kepercayaan yang merosakkan diri anak itu.
Ibu tahu yang membaca penulisan ibu ini adalah ibu bapa yang prihatin dan mahukan kebaikan untuk dirinya dan anak-anaknya. Ibu pernah menjadi ibu muda dan sekarang nenek pula. Ibu tahu perlunya membesarkan kesabaran. Oleh itu, janganlah risau sayang.
Kita perlu sedar, anak-anak ini didatangkan kepada kita untuk memberi kita rasa seronok dan juga membina diri kita. Membina kesabaran itu adalah salah satu daripada membina diri kita ini.
Untuk kali ini Ibu tinggalkan kepada anda dengan satu azimat. pegang dengan kemas.
Azimatnya ialah SENTIASA, SENTIASA BERSANGKA BAIK DENGAN ANAK-ANAK TERUTAMANYA ANAK-ANAK KECIL. KEMASKAN KEYAKINAN BAHAWA ANAK-ANAK KECIL INI SUNGGUH SUCI.
Pemilihan mainan sangat penting untuk menggalakkan perkembangan minda serta kemahiran motor anak-anak. Ketika mencari mainan untuk anak, ketahui fungsinya. Lebih baik begitu daripada anda membelikan mainan yang sekadar boleh dibuat main sahaja. Mainan klasik ini elok diperkenalkan daripada peringkat awal lagi untuk untuk pembangunan pembelajaran awal si manja.
Bagaimana permainan ini boleh meningkatkan kemahiran motor dan bahasa? Berikut adalah cara anda membantu bayi bermain untuk belajar dengan mainan klasik ini:
Bagi kanak-kanak kecil, mengambil barang-barang dan meletakkannya membantu mereka mempelajari kemahiran penting seperti menggenggam dan melepaskan yang boleh membantu mereka mengawal otot tangan dan jari.
Ini kerana bayi masih tidak mempunyai kemahiran atau kawalan motor yang baik, mereka menggunakan seluruh tangan mereka untuk meneroka, memegang, melepaskan dan meletakkan objek. Ini akan membantu si manja menggenggam lebih baik dan terkawal.
Permainan ini juga berfungsi pada menggalakkan persepsi mendalam (depth perception), koordinasi mata-tangan, dan pemahaman kedudukan badan. Apabila bayi meletakkan objek di atas yang lain, mereka perlu mengukur secara visual dan perkaitan antara kedua-duanya. Bagi bayi, mainan jenis ‘nesting’ lebih mudah dimulakan. Kepingan yang terkunci antara satu dan yang lain akan memberikan bimbingan awal persepsi visual.
Bermula pada usia kira-kira 6 bulan ke atas, bayi mendapat kestabilan postur untuk dapat duduk sendiri. Mereka juga berusaha menyelaraskan pergerakan mereka. Duduk semasa menyusun setiap kepingan mainan membolehkan mereka belajar untuk menstabilkan badan mereka semasa bergerak dan penggunaan tangan.
Lintasan pada bahagian tengah badan adalah keupayaan tangan kanan untuk melintasi pusat badan untuk berfungsi di hemisfera kiri dan sebaliknya. Ini adalah kemahiran penting untuk menulis tulisan tangan, memotong dengan gunting, membaca, makan, dan apa sahaja yang memerlukan tangan untuk bergerak dari kiri ke kanan atau kanan ke kiri.
Untuk menajamkan kemahiran ini, letakkan semua kepingan mainan di bahagian kiri badan (di sebelah pinggang kiri). Pastikan dia menggunakan hanya tangan kanannya tanpa menggunakan tangan kiri untuk membantu.
Nutrisi perkembangan minda anak bermula daripada pemakanan harian. Ketahui 8 makanan terbaik seperti telur, ikan berlemak, susu, avokado dan bayam yang membantu meningkatkan fokus, memori serta perkembangan otak kanak-kanak.