Amalan berpantang secara tradisional sudah semakin jarang diamalkan kini kerana ramai wanita mula mengamalkan cara hidup yang lebih sihat berbanding cara lama.
Namun jangan dilupakan cara lama jika ia masih baik dan berkesan untuk tubuh badan kita kembali cergas dan sihat. Apa yang penting adalah mengambil makanan yang sihat dan segar.
Semasa berpantang, banyak amalan yang boleh diamalkan untuk menjaga kesihatan tubuh, lebih-lebih lagi bila semakin berusia kelak. Ikuti perkongsian Pn Dzuriasikim Dzulkefli yang boleh mama ikuti.
BERPANTANG PENUH SELEPAS BERSALIN
Saya tulis huruf besar ni. Sebab ramai wanita moden tak suka berpantang. Ambil ringan. Serta mungkin juga kerana tidak seiring dengan banyak pendapat moden. Tapi saya kongsikan di sini sebahagian dari amalan berpantang saya dari kelahiran anak pertama hingga ke 5 ya.
MANDI AKAR KAYU
Mandi akar kayu setiap hari walaupun sampai ke hari terakhir berpantang. Biasanya ada orang yang akan bantu sediakan. Jika tiada, minta tolong suami rebuskan.
Bangun awal, mandi air suam atau hangat dengan rebusan akar kayu awal pagi. Terus sapu segala ramuan di perut dan ikat perut atau berbengkunglah dari awal pagi. Mulakan hari begini. Lepas tu baru boleh sarapan dan buat lain-lain perkara.
MENGAMALKAN HERBA ATAU JAMU.
Terutama ketika dalam pantang. Usah malas untuk makan atau minum air akar kayu di samping ubat dari hospital. Terlalu banyak khasiatnya yang Allah jadikan dalam akar kayu.
BERURUT.
Sapu minyak herba satu badan. Berurut selalu.
BERTANGAS
Jangan lupa bertangas.
KURANG PENGAMBILAN AIR.
Jangan sampai tak cukup air, tapi jangan minum terlalu banyak. Jangan minum ais. Saya pantang 100 hari tak minum air sejuk. Malah hingga kini, saya jarang minum ais.
BERTUNGKU
Bertungku penting, jangan culas.
BERBENGKUNG.
Mesti pakai. Jangan culas. Jangan ambil mudah. Jangan malas. Jangan ganti bengkung dengan girdle moden ketika dalam pantang.
JAGA MAKAN
Usah makan sembarangan. Waktu berpantang saya hanya minum air yang suam sahaja, tidak sejuk (walaupun pada suhu bilik). Makan pula hanya ikan, daging, ayam yang dibakar sahaja. Ikan pun bukan semua ikan yang boleh dimakan. Saya juga banyak amalkan makan nasi bersama lada hitam yang ditumbuk. Kunyit hidup dan halia muda.
BERSTOKIN
Usah ambil remeh. Berstokin bukanlah untuk elak badan dari dimasuki angin. Tetapi agar badan kekal hangat (to keep you warm).
PASTIKAN BADAN SENTIASA PANAS.
Jauhi aircond.
PANTANG BERSAMA SUAMI.
(Kalau saya 100 hari, terserahlah).
ELAK MENGANGKAT BENDA BERAT/SENAMAN BERAT.
Arwah ibu selalu pesan…“Perut tu dah keluar anak seorang…”. Dia sebenarnya cuba membayangkan bahawa badan perlukan waktu untuk sembuh setelah melahirkan dan supaya saya tidak pandang remeh tentang itu.
PANTANG KELUAR RUMAH
Tahanlah sekejap, jangan keluar rumah.
IKAT RAMBUT TINGGI SELALU.
Ikat kemas-kemas. Orang dulu-dulu selalu simpan rambut supaya boleh diikat sebelum bersalin dan ketika dalam pantang. Ikatan rambut yang kemas dipercayai boleh mengurangkan sakit kepala dan menegangkan wajah.
Perlu diingat, kebaikan berpantang ini adalah untuk diri sendiri. Kena sihatkan dalaman dahulu. Jadi perlu bersabar kerana ia hanya untuk sementara waktu iaitu di antara 44 hari, 60 hari atau 100 hari. Jangan culas kalau betul-betul nak jaga badan.
Wanita zaman moden (tidak semua) memang serba boleh. Hampir semua perkara mampu diuruskan sendiri dengan efisyen. Tak salah berpantang sendiri, cuma perlu konsisten dan disiplin. Kalau rasa malas tapi masih lagi ingin berpantang sendiri, carilah penyedia khidmat berpantang dan urut selepas bersalin yang boleh ditempah secara online.
Ingatlah, berpantang adalah proses pemulihan tubuh yang amat penting dan akan memberi kesan kebaikan kepada kesihatan jangka masa panjang.
Masa muda kita tak rasa. Rasa macam ok. Jalan ok. Bersama suami ok. Duduk kaki terbuka ok. Tak pakai stokin ok. Tak ikat perut pun ok.
Malah ada wanita moden yang berasa bangga apabila boleh memandu setelah dua minggu bersalin. Memang tak sakit. Belum lagi. Tunggu bila berusia, kata orang tua, jika tidak berpantang ni, bukan sahaja diri yang akan merasa nanti, malah pasangan (suami) pun boleh “rasa”.
Berpantang ini juga boleh menjaga dan mengekalkan seri wajah. Pernah dengar tak orang tua-tua sebut “Hilang seri dia lepas bersalin….”. Atau “jatuh muka” lepas bersalin. Begitulah.
Sebab itulah kalau tengok wanita zaman nenek-nenek kita, mereka masih langsing dan cergas bertenaga walaupun setelah lanjut usia dan beranak ramai. Orang zaman dulu beranak 8 ke 10 orang itu biasa bagi mereka.
Selain pemakanan dan cara hidup, amalan berpantang yang diamalkan sedikit sebanyak dapat membantu untuk mengekalkan kesihatan. Jika dibandingkan dengan wanita zaman kini, umur baru 30 pun sudah banyak penyakit yang datang.
Untuk kesihatan ibu yang baru bersalin, pengaliran darah adalah sangat penting. Kaedahnya termasuk lah senaman yang ringan dengan kerap dan berurut. Jika tidak mampu mencari orang untuk mengurut, boleh buat senaman yang ringan untuk pengaliran darah dari kaki ke jantung.
Jika malas, urat-urat hijau yang kembang di kaki tu (varicose vein) boleh hadir. Ia sebenarnya bukan urat, tetapi saluran darah ‘vena’ yang membawa darah kembali dari kaki ke jantung.
Untuk mencegah varicose vein atau untuk mengelak supaya ia tidak menjadi bertambah teruk, ini lah panduan untuk anda:
* Senaman yang kerap untuk membantu pengaliran darah di kaki. Jika tak bersenam, boleh berurut.
* Kurangkan berat badan melalui penjagaan pemakanan dan senaman. Lagi gemok badan kita, lebihlah lagi tekanan lemak badan dan berat badan kita ke atas vena kita dan ini melambatkan pengaliran darah dari kaki kembali ke jantung.
* Elakkan berdiri lama-lama. Elakkan duduk bersila dan jangan duduk lama-lama sangat. Bangun dan berjalan. Walaupun anda pergi mengurut kaki dan badan, anda tidak boleh mengurut sepanjang masa. Satu-dua jam saja pengaliran darah sehari semasa mengurut, lepas tu duduk saja sepanjang masa itu masih tidak mencukupi.
* Bila berjalan, elakkan memakai kasut tinggi. Ini menyebabkan perubahan kedudukan badan dan melebihkan tekanan ke atas vena di kaki.
* Bila tidur malam, tinggi kan kaki sedikit di atas beberapa bantal supaya kaki lebih tinggi dari badan untuk membantu pengaliran darah dari kaki ke jantung semasa kita tidur. Lagipun, tidur begini sangat rileks dan selesa.
Jadi wanita, jagalah kesihatan diri luar dan dalaman.
Dzuriasikim Dzulkefli
52 tahun
Menarik: “Ikut Muka Mommy, Sebiji Sama”, CP Juliana Evans Kongsi Wajah Anak Kedua, Comelnya!
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI