
Anak perempuan sebenarnya cukup istimewa. Hatinya lembut, emosinya sensitif dan kadang-kadang buat ibu sendiri pening memikirkan cara terbaik untuk membimbing mereka.
Ada masa anak merajuk, ada masa manja, ada masa pula terlalu sensitif. Tapi itulah warna kehidupan bila kita membesarkan seorang anak perempuan.
Sebab itulah ibu selalunya lebih berhati-hati dalam mendidik anak perempuan. Bukan sahaja dari segi emosi dan tingkah laku, malah soal pemakanan juga tidak boleh dipandang ringan.

Ramai ibu mungkin tak sedar, makanan yang anak makan setiap hari sebenarnya memberi kesan besar kepada perkembangan otak, emosi dan kesihatan mereka. Pemilihan makanan yang betul boleh membantu mereka membesar dengan lebih sihat, fokus dan emosi yang lebih stabil.
Menurut Pakar Otak, Dr Rizal Abu Bakar, terdapat beberapa makanan yang sangat baik untuk kesihatan otak wanita termasuklah anak perempuan yang sedang membesar.
Kalau ibu mahu anak membesar dengan otak yang cerdas, tubuh yang sihat dan emosi yang lebih stabil, cuba biasakan makanan ini dalam menu harian keluarga.
3 Makanan Untuk Otak Anak Perempuan Yang Baik Diamalkan

1. Greek Yogurt
Greek yogurt antara makanan yang sangat baik untuk kesihatan otak kerana ia mengandungi probiotik yang membantu menjaga kesihatan usus.
Ramai pakar kesihatan percaya bahawa usus yang sihat mempunyai kaitan rapat dengan fungsi otak. Apabila sistem penghadaman berada dalam keadaan baik, ia turut membantu meningkatkan fokus, emosi dan kestabilan mental.
Selain itu, Greek yogurt juga tinggi kalsium yang penting untuk perkembangan tulang dan kesihatan tubuh secara keseluruhan.
Ia juga dipercayai membantu mengurangkan risiko beberapa penyakit termasuk kanser payudara. Sebab itu Greek yogurt sering disarankan sebagai salah satu makanan untuk otak anak perempuan yang mudah dimasukkan dalam diet harian.

2. Ikan Berlemak
Ikan seperti sardin, makerel dan salmon kaya dengan omega-3 yang sangat penting untuk perkembangan otak.
Omega-3 membantu meningkatkan daya ingatan, fokus serta menyokong perkembangan sel otak anak-anak. Nutrien ini juga memainkan peranan penting dalam membantu perkembangan sistem saraf yang sihat.
Dalam masa yang sama, pengambilan ikan berlemak juga boleh membantu mengurangkan risiko penyakit jantung, strok serta masalah nyanyuk apabila usia meningkat.
Sebab itu pakar kesihatan sering menyarankan supaya ikan dimasukkan dalam menu keluarga sekurang-kurangnya beberapa kali seminggu sebagai sebahagian daripada makanan untuk otak anak perempuan yang terbaik.
3. Kekacang
Kekacang seperti kacang dal, kacang kuda, kacang merah dan kacang hitam juga termasuk dalam kategori superfood.
Kekacang kaya dengan isoflavone yang membantu menstabilkan hormon wanita. Nutrien ini juga dikaitkan dengan pengurangan simptom berkaitan perubahan hormon seperti PMS, perimenopaus dan menopaus.
Selain itu, kekacang juga tinggi protein dan serat yang baik untuk kesihatan tubuh secara keseluruhan.
Disebabkan kandungan nutriennya yang tinggi, kekacang sering dianggap sebagai antara makanan untuk otak anak perempuan yang sangat baik diamalkan sejak kecil.

Makanan Tambahan Yang Baik Untuk Otak Wanita
Selain tiga makanan utama ini, Dr Rizal turut berkongsi beberapa makanan lain yang bagus untuk kesihatan otak wanita dan juga anak perempuan.
Avokado
Avokado kaya dengan pelbagai nutrien penting seperti folate, magnesium, potassium serta vitamin B6, E dan K. Ia juga merupakan sumber lemak sihat yang sangat baik untuk fungsi otak dan kesihatan jantung.
Lemak sihat dalam avokado membantu menyokong aliran darah yang baik ke otak, sekali gus membantu meningkatkan fungsi kognitif dan daya tumpuan.
Chickpeas (Kacang Kuda)
Chickpeas atau kacang kuda pula mengandungi phytoestrogen, kalsium dan zat besi yang penting untuk tubuh wanita.
Ia juga mempunyai resistant starch yang membantu pembakaran lemak secara semula jadi serta menyokong kesihatan sistem penghadaman.
Sayuran Berdaun Hijau
Sayuran berdaun hijau seperti bayam pula kaya dengan antioksidan serta vitamin penting seperti vitamin K, C, E dan B yang membantu menyokong kesihatan otak.
Pengambilan sayuran hijau secara konsisten juga boleh membantu meningkatkan daya ingatan serta melindungi sel otak daripada kerosakan.
Berries
Berries seperti blueberry, blackberry dan strawberi pula mengandungi antioksidan kuat yang membantu melindungi sel otak daripada kerosakan akibat radikal bebas.
Buah-buahan ini juga sering dikaitkan dengan peningkatan fungsi memori dan kesihatan otak dalam jangka masa panjang.
Kesimpulan
Hakikatnya, kesihatan otak bermula daripada apa yang kita makan setiap hari. Pemilihan makanan untuk otak anak perempuan yang betul boleh memberi kesan besar kepada perkembangan mereka.
Jika ibu mula memperkenalkan makanan sihat ini sejak anak kecil lagi, ia bukan sahaja membantu perkembangan otak mereka malah membentuk gaya hidup sihat sehingga dewasa.
Jadi selepas ini, cuba tambah makanan ini dalam menu keluarga. Anak dapat manfaat, ibu pun boleh sama-sama sihat.
Kredit: Dr Rizal Abu Bakar
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!





