Biarpun anak sulung Wan Nurhaliza Wan Mohd Hatta dan Harinto Salwisol ada sindrom Peter’s Anomaly, mereka positif dalam membantu pemulihan anaknya. Anak itu, Nazri Shafi, kini berusia tiga tahun menghidap sindrom Peter’s Anomaly, satu penyakit yang sangat jarang ditemui. Hanya seorang daripada 300,000 kelahiran yang menghidapnya.
“Sebaik lahir, saya lihat mata anak berwarna putih dan ketika hendak menyusu, dia nampaknya hadapi kesukaran. Ketika itu, saya ingatkan itu normal bagi bayi baru lahir. Tak lama selepas itu, doktor tiba-tiba membawa anak saya ke wad penjagaan kanak-kanak. Bila saya tanya, katanya anak saya terkena sakit mata.
Saya melahirkan Shafi jam 2.20 petang dan sehingga malam saya tidak dibenarkan melihatnya. Pada sebelah malamnya, selepas tubuh sudah agak kuat, saya berjalan sendiri ke bilik penjagaan bayi. Saya lihat mata kiri anak saya seperti kawah dan berlubang serta ada darah di dalam mata. Mata kanannya seperti diselaputi kabus.
Setelah selesai pemeriksaan, doktor membuat keputusan untuk menampal mata kiri Shafi untuk mengelakkannya dimasuki kuman yang boleh merosakkan keseluruhan bebola mata kiri. Pada waktu itu doktor mengesahkan anak saya tidak dapat melihat langsung. Sebagai ibu, hanya Tuhan yang tahu perasaan saya.” ujar Wan Nurhaliza.
Selepas menjalani pembedahan menampal mata kiri, Shafi dibenarkan pulang. Dalam masa yang sama, Wan Nurhaliza dan suami tak putus mencari maklumat berkaitan penyakit anak mereka itu. “Saya melahirkan Shafi di hospital swasta. Jadi, kosnya lebih tinggi. Selepas itu saya dan suami merujuk ke HUKM berkenaan perkara ini dan doktor mencadangkan kami merujuk kes Shafi ke HKL kerana di sana terdapat doktor pakar mata untuk bayi yang boleh memberikan konsultasi terbaik buat anak kami.
“Shafi dibawa ke HKL pada umur lapan hari. Dalam tempoh usianya sebulan, Shafi telah menjalani tiga pembedahan dan semuanya tidak memberikan perkembangan positif. Bahagian mata yang ditampal tersebut tetap tertanggal.
Akhirnya doktor pakar kornea menyarankan supaya pemindahan tisu kornea dilakukan dengan segera. Namun, beliau tidak memberi jaminan Shafi akan dapat melihat dengan mata tersebut. Apa yang mengejutkan dengan kuasa Allah SWT, kornea tersebut diterima dengan baik sehingga usia Shafi lebih dua tahun. Menurut maklumat doktor, pemindahan organ berisiko untuk penolakan kerana organ yang dipindahkan adalah bendasing dalam badan penerima. Dalam kes Shafi, tisu kornea tersebut dapat bertahan disebabkan oleh katarak yang terdapat dalam matanya.
“Shafi mula memberikan respons positif ketika umurnya mencecah tujuh bulan. Doktor di HKL banyak membantu kami dalam usaha memulihkan mata anak saya. Doktor menyarankan supaya prosedur pupiloplasty, iaitu membuat anak mata palsu menggunakan kaedah laser dilakukan kerana khuatir mata tersebut menjadi buta kerana anak matanya sudah terhalang dengan selaput putih.
Ternyata ia adalah satu keputusan terbaik buat Shafi. Ketika itu mata kirinya sudah tidak dapat digunakan akibat penolakan kornea. Kali terakhir Shafi menjalani surgeri mata adalah ketika saya sedang sarat mengandungkan anak kedua kami, Nazhliyya Shafina.
Alhamdulillah, kini Shafi sudah semakin sihat dan mula memberikan respons terhadap objek di sekelilingnya. Saya amat berterima kasih kepada semua doktor pakar dan jururawat di Unit Oftalmologi HKL, terutamanya Dr. Rohana, Dr. Sunder dan Dr.Thiages yang berusaha memberikan rawatan yang terbaik untuk membantu anak kami dan sentiasa memberikan kata kata positif kepada kami. ” tambah Wan Nurhaliza penuh kesyukuran.
Menurut Wan Nurhaliza lagi, perkembangan Shafi tidak seperti kanak-kanak lain. Pada usia setahun, Shafi masih belum mampu untuk duduk sendiri. Kebanyakan masanya dihabiskan dengan berbaring. “Saya dah bersedia jika Shafi ditakdirkan tidak dapat berjalan. Tapi siapa sangka, dengan kuasa Allah, kini Syafi dapat berjalan perlahan-lahan. Shafi juga memiliki kaki yang rata (flat feet). Ini membuatkan dia tidak dapat berjalan dengan betul. Tapi itu pun sudah cukup membuat saya gembira dengan perkembangannya.
Saya berterima kasih pada pengasuh anak saya, Farah, yang saya rasa cukup sabar menjaga Shafi selama ini. Shafi juga menghadapi masalah tidak tahu mengunyah makanan. Kadangkala makanan yang dimakan akan dimuntahkan semula. Farah sangat sabar melayan Shafi. Selain itu saya rasa Shafi banyak belajar daripada adiknya untuk melakukan sesuatu perkara.
Shafi juga menghadapi masalah di bahagian alat sulitnya dan akan menjalani pembedahan yang agak besar juga pada tahun depan. Saya berharap pembedahan itu akan berjaya. Saya sekeluarga menganggap Shafi adalah anugerah yang bermakna untuk kami. Bahkan tidak susah menjaga Shafi sebenarnya.
Pada awal dulu, saya rasa sedih dan agak kecewa dengan reaksi masyarakat terhadap Shafi. Tapi lama-kelamaan, saya belajar untuk abaikan saja sikap mereka. Bahkan, saya bangga memiliki anak istimewa seperti Shafi. Dia hadiah untuk kami sekeluarga. Kita diuji Allah sesuai dengan tahap kekuatan diri kita. Jad,i saya reda dan tidak sesekali menyalahkan takdir. Saya sentiasa cuba melakukan yang terbaik untuknya. Selebihnya saya serahkan pada Allah SWT.” ujar Wan Nurhaliza mengakhiri bicara.
Kredit: Nurul Azwa Abu Bakar, Mingguan Wanita
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Matematik mungkin menjadi satu matapelajaran yang menyeronokkan bagi sesetengah kanak-kanak, mungkin juga menjadi satu mimpi ngeri bagi sekelompok kanak-kanak yang lain. Persepsi ini bergantung kepada keseluruhan penerimaan kanak-kanak tersebut terhadap subjek matematik bergantung kepada pelbagai faktor seperti cara pengajaran, penyampaian ilmu yang mudah dan berkesan serta suasana kelas matematik itu sendiri.
Seperti perkongsian Angkasawan pertama negara, Dr Sheikh Muszaphar, matematik sangat penting dalam kehidupan kanak-kanak untuk membina kemahiran berfikir dan daya fokus yang tahan lama. Namun cara mendidik anak-anak untuk sukakan matematik haruslah betul dan bukan paksaan.
“Loving Maths. Sangat penting untuk buat aktiviti matematik setiap hari dengan anak-anak.
“Ianya sangat membantu untuk meningkatkan daya fokus anak-anak.
“Lagi kerap mereka lakukan aktiviti kira-kira, lagi bagus untuk mereka.
“Practice makes perfect! Dan lakukan aktiviti ini secara santai.”
Tambah bapa kepada 6 orang cahaya mata ini, aktiviti melibatkan matematik ini boleh didedahkan seawal usia bayi lagi dengan menggunakan Flash Card.
“Untuk bayi, mama ayah boleh mulakan dengan menggunakan FlashCards. Mulakan dengan titik dan nombor.”
Flashcard boleh menunjukkan kepada anda apakah yang bersamaan dengan 2 + 2, tetapi membiarkan anak-anak mendapat pengalaman secara langsung dengan mengira, mungkin berfungsi dengan lebih baik. Tentukan pilihan pembelajaran anak anda dengan mencuba kedua-dua flashcard dan pengalaman secara langsung.
Sesetengah kanak-kanak belajar dengan lebih baik dengan melihat jawapan pada kad atau mengira gambar pada kad. Individu lain tidak akan benar-benar mendapatkan konsep matematik sehingga anda membiarkan mereka mengira objek fizikal. Campurkan pelajaran matematik anda untuk melihat kaedah mana yang paling berkesan untuk anak anda.
Jadikan Rutin
“Kami lakukan matematik dengan anak-anak setiap hari. Setiap hari mereka makin bagus dan cepat belajar. Dan mereka tak perlu mengira pun tapi terus dapat beri jawapan sama macam kita orang dewasa.”
Gunakan matematik dalam rutin harian anda. Bantu anak anda memanfaatkan pelajaran matematik anda apabila anda memasukkannya ke dalam kehidupan seharian anda sambil menetapkan matlamat yang boleh dicapai dalam pembelajaran.
Jadi perkenalkan matematik pada anak-anak seawal yang boleh supaya mereka mencintai ilmu matematik!
Bayangkan, anda sedang menikmati udara di tepi tasik sambil berlari anak bersama kawan-kawan. Sampai satu ketika, anda mula perasan bahawa badan anda, khususnya bahagian yang terdedah seperti lengan, mula dikerumuni nyamuk.
Lebih menyakitkan hati lagi adalah nyamuk-nyamuk ini dilihat hanya menghinggap pada anda sahaja. Kawan-kawan anda dapat terus berlari dengan tenang dan tidak pula diganggu oleh sebarang nyamuk. Jadi, adakah anda seorang magnet nyamuk?
4 perkara yang menjadikan anda magnet nyamuk;
Kecenderungan untuk menjadi pilihan utama nyamuk bukanlah sesuatu yang tidak masuk akal atau tidak berasas. Buat mereka yang betul-betul mengalami masalah ini, anda pasti tahu betapa menjengkelkan pengalaman dikerumuni nyamuk sebaik sahaja melangkah ke luar. Walaupun kita suka apabila mempunyai peminat dan pengikut yang ramai, logik yang sama tidak boleh dipakai jika peminat itu adalah nyamuk. Tidak pasti apa yang menjadikan anda cukup menarik buat mereka? Jangan risau, berikut adalah 4 perkara yang mungkin menyebabkan anda nyamuk sukakan anda:
1.Gas karbon dioksida
Nyamuk perlu menghisap darah daripada binatang hidup dan salah satu indikator mudah untuk menentukan sama ada suatu organisma itu masih hidup adalah pelepasan gas karbon dioksida. Terdapat tiga jenis sel pengesan bau pada bahagian mulut nyamuk iaitu Gr1, Gr2 dan juga Gr3.
Dalam sebuah kajian yang diterbitkan dalam jurnal Cell pada tahun 2014, saintis telah mengubahsuai gen beberapa nyamuk Aedes aegypti untuk menyahaktifkan sel deria Gr3 mereka. Akibat proses modifikasi ini, nyamuk tersebut dilihat tidak lagi menunjukkan tarikan yang sama terhadap hembusan gas karbon dioksida berbanding dengan nyamuk lain yang mempunyai sel deria yang baik. Kebolehan nyamuk ini untuk mencari manusia dalam ruang besar yang tertutup turut merudum, sebanyak 15% lebih teruk berbanding nyamuk biasa.
Oleh itu, perkara yang menyebabkan anda lebih kerap menghembus nafas juga akan menarik perhatian nyamuk. Selain melakukan aktiviti fizikal, kadar pernafasan yang lebih laju dan hembusan gas karbon dioksida yang lebih banyak turut berlaku dalam wanita yang hamil. Sekarang anda tahu mengapa ketika berbadan dua, seorang wanita itu tiba-tiba menjadi magnet nyamuk.
2.Berpeluh
Kelembapan (akibat berpeluh) sahaja bukanlah faktor penarik untuk nyamuk datang menghinggap. Sebaliknya, nyamuk tertarik dengan bau yang dihasilkan oleh badan anda ketika berpeluh. Setiap orang mempunyai bau yang unik kerana populasi bakteria pada kulit seseorang itu berbeza.Bakteria pada kulit akan meghadam peluh yang dikeluarkan dan akan menghasilkan kompaun sisa yang mudah meruap. Kompaun mudah meruap inilah yang akan memberi bau yang unik kepada badan seseorang. Antara kompaun yang paling menarik untuk nyamuk berbanding kompaun lain adalah asid laktik.
3.Pakaian gelap
Ini mungkin perkara yang paling mudah untuk anda ubah jika tidak ingin menjadi seorang magnet nyamuk. Banyak kajian telah mendapati bahawa nyamuk gemar menghinggap pada permukaan yang gelap. Beberapa siri kajian menunjukkan warna hitam dan warna gelap akan menarik paling banyak nyamuk manakala warna kuning atau putih pula adalah yang paling tidak popular. Dari sudut pandang nyamuk, warna yang paling banyak memantul semula cahaya (seperti warna terang) adalah warna yang tidak digemari nyamuk.
4.Minuman beralkohol
Ini mungkin satu berita buruk untuk mereka yang ingin menikmati minuman beralkohol di luar rumah ketika musim panas. Kajian mendapati nyamuk lebih cenderung untuk menghinggap pada seseorang selepas mereka mengambil minuman beralkohol berbanding sebelum pengambilannya. Walaupun tidak jelas apa yang menyebabkan golongan ini menjadi lebih menarik, teori yang dicadangkan oleh kajian pada tahun 2010 adalah metabolisma alkohol menyebabkan nafas dan/atau peluh seseorang itu lebih menarik (untuk nyamuk).
Walaupun sedikit lucu apabila melihat kawan tertentu asyik menjadi mangsa nyamuk, perlu diingati bahawa serangga ini adalah vektor penyakit berbahaya. Nyamuk cukup dikenali sebagai ejen penyebaran penyakit seperti malaria, dengi, JE dan juga zika. Untuk itu, pastikan anda menghapuskan kawasan pembiakan nyamuk di sekeliling rumah anda. Sebagai langkah tambahan, bolehlah anda manfaatkan 4 perkara di atas untuk mengelakkan diri anda daripada terus menjadi magnet nyamuk.