
Bukan rahsia lagi, memupuk minat membaca dalam diri anak sejak usia kecil bukanlah satu perkara mudah. Ia merupakan antara cabaran besar yang hampir semua ibu bapa perlu lalui. Setiap ibu ayah pasti menyimpan harapan untuk melihat anak boleh membaca seawal usia enam tahun, namun realitinya proses ini jauh lebih mencabar daripada apa yang disangka.
Melalui satu perkongsian di Facebook, seorang ibu berkongsi tujuh tips praktikal cara ajar anak membaca yang boleh dijadikan panduan buat ibu ayah. Pesannya cukup jelas — jangan sesekali memaksa atau terlalu tertekan. Tekanan hanya akan membuatkan anak semakin menjauh daripada buku, malah minat membaca boleh “mati” sebelum sempat berputik.
Di sini, saya ingin berkongsi cara saya sendiri mengajar anak belajar membaca.
Sebenarnya, sebelum kita ajar anak membaca, ada beberapa perkara asas yang perlu diberi perhatian terlebih dahulu. Sama seperti sebelum anak belajar menulis, ada kemahiran lain yang perlu dibina dahulu.
Namun untuk perkongsian kali ini, kita fokus kepada proses membaca sahaja kalau nak cerita semua, memang sampai esok tak habis.
Sejujurnya, saya mengajar anak menggunakan kaedah fonik dan saya sendiri mengikuti kursus bersama pengasas fonik untuk lebih memahami kaedah ini. Namun jangan risau, jika mommies lebih selesa menggunakan kaedah mengeja suku kata, langkah-langkah cara ajar anak membaca yang saya kongsikan ini masih boleh diikuti dan disesuaikan.
Bacakan buku kepada anak sejak mereka kecil. Seawal usia enam bulan pun mommies sudah boleh mula membacakan buku cerita.
Kajian menunjukkan bayi yang sering dibacakan buku dan diajak berkomunikasi sejak usia awal akan mempunyai penguasaan kosa kata yang lebih baik.
Beri ruang terlebih dahulu untuk anak mahir bercakap dan memahami arahan sebelum mengajar mereka membaca. Berdasarkan pandangan OT yang saya ikuti, anak bawah dua hingga tiga tahun tidak perlu fokus kepada ABC atau 123 utamakan perkembangan lain terlebih dahulu.
Irama dan lagu sangat bagus untuk perkembangan otak anak, lebih-lebih lagi apabila disertai dengan pergerakan dan tarian.
Untuk fonik, saya perdengarkan lagu “Abu Ada Ayam”. Jika tidak menggunakan fonik, menari dan berjoget dengan lagu ABC juga sudah memadai.
Bahagian ini kami lakukan dengan pelbagai aktiviti. Setiap huruf ada aktiviti tersendiri.
Contohnya huruf A untuk ayam kami gunakan kulit telur ayam dan anak sendiri yang mengupas serta menampal.
Saya suka aktiviti yang boleh merangsang motor halus, motor kasar serta koordinasi mata dan tangan. Selain itu, boleh juga buat aktiviti tabur huruf, sebut bunyi dan minta anak cari huruf tersebut.
Kami menggunakan kaedah fonik, jadi fokus kepada gabungan bunyi. Jika mengeja suku kata pun boleh.
Contohnya /beh/ digabungkan dengan /aa/ menjadi “ba”, atau ‘b’ kawan ‘a’ jadi “ba”.
Untuk aktiviti ini, saya DIY menggunakan muka Hello Kitty dan letakkan huruf satu per satu. Jika mahu bahan yang lebih menarik, mommies boleh cari flip-card wow yang sedia ada di pasaran.
Apabila anak sudah boleh menyebut gabungan dua huruf, banyakkan lagi aktiviti berkaitan suku kata.
Saya suka gunakan bahagian anggota badan kerana banyak suku kata terbuka seperti: da-hi, pi-pi, da-gu, ka-ki.
Belajar melalui buku memang bagus, tetapi kanak-kanak akan lebih seronok bila disertakan dengan aktiviti. Saya pula jenis suka jadikan apa yang ada dalam buku kepada benda maujud boleh pegang, sentuh dan rasa.
Bila anak sudah boleh membaca sedikit demi sedikit, biasakan membaca bersama-sama.
Contohnya mommies baca satu ayat, kemudian anak sambung ayat seterusnya. Tampal poster bacaan di tempat yang mudah dilihat anak. Ingat, membaca bukan hanya melalui buku.
Paling penting dalam cara ajar anak membaca ialah jangan stres. Bila ibu bapa stress, anak boleh rasa dan mereka juga akan tertekan.
Fokus untuk mencipta aktiviti yang menarik minat anak. Jangan lupa peluk dan puji mereka selalu.
Aktiviti yang saya buat pun hanya mengambil masa sekitar 5 hingga 15 minit sehari. Selebihnya? Bermain, bermain dan bermain.
Tahu-tahu saja, anak sudah boleh membaca dengan lancar.
Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada mommies semua. Terima kasih kerana sudi membaca sampai habis.
Sumber: AziLa Ghani